Assalamualaikum, selamat malam semua yang sudi follow grup Aini Marisha ni. Malam ni baru boleh nak curi masa untuk buka laptop di rumah dan update apa yang patut kat sini. Hari ni saya nak share bab awal mini novel Nina P.I yang terkandung dalam novel Kompilasi Nuansa Cinta. Novel ni adalah hasil kerjasama 4 penulis (Hasreeyati Ramli, Wawa Akil, Isma Adeliya dan saya) yang menulis 4 kisah yang berlainan dan ber-genrekan cinta sweet mweet. InsyaAllah.... 😍😍 novel ini akan dapat menepati citarasa pembaca. Jom kita baca petikan Bab 1 ya...
Bab 1
Nina menghempaskan sampul surat bersaiz A4 ke atas meja bersama perasaan marah yang menggunung. Cik Noni yang sedang menaip sesuatu di komputer terkejut bukan kepalang sehingga hampir terlompat dari kerusinya. Dia terus memanjangkan batang lehernya, cuba menjenguk apa yang telah berlaku. Kerusi berodanya ditolak ke belakang perlahan-lahan, cuba mengintai dari pintu bilik majikannya yang memang sentiasa terbuka itu.
“Ha!!! Apa tengok-tengok! Buat saja kerja tu!” Nina merengus kasar ke arah keraninya yang memang suka menyibuk hal orang. Wartawan tak bertauliah, gelaran Nina padanya. Kalau dapat bergossip memang cukup suka. Pantang berbunyi pelik saja di pejabat, pasti cerita yang sekecil pasir akan jadi sebesar bola.
Secepat kilat Cik Noni terus menghadap semula ke arah komputer. Kecut juga perutnya apabila bossnya, anak dara terlajak umur itu menyinga. Pasti ada masalah dengan client tu, teka Cik Noni.
“Kalau kau dah tahu mulutnya kecoh mengalahkan mulut burung murai, kenapa kau tak pecat aje dia.” Itu yang dikatakan oleh Atie apabila Nina merungut tentang sikap Cik Noni yang satu ini.
“Kau ingat senang ke nak cari pekerja yang berpengalaman macam dia? Masalah dia mulut tu aje. Tapi kerja tip top. Aku bagi kerja apa pun, semuanya siap on time. Lagipun aku tak boleh nafikan dia tu memang rajin. Aku pun memang perlukan pekerja berpengalaman macam dia sebab aku pun baru lagi dalam bidang ni. Banyak yang aku tak tahu,” jawab Nina. Dia kemudian menongkat dagu dan termenung seketika.
“Cuma aku warning je lah dia hari tu. Aku cakap, nak kepoh-kepoh pasal cerita personal lantaklah, asalkan hal pejabat, hal pelanggan jangan sesekali di bawa keluar. Kau tahu lah kerja aku kan. Aku ni private investigator. Segala masalah client adalah private and confidential. Kalau aku tak jaga, silap-silap aku yang kena saman fitnah. Kalau kes saman fitnah, saman malu ni bukan sikit-sikit diorang mintak untuk gantirugi. Mana aku nak cekau duit nanti.” Nina merengus lagi.
“Kalau macam tu kau kena lah banyakkan sabar ya. Dalam hidup kita ni bukan semua benda yang kita nak, yang kita rancang akan berjaya kita perolehi. Jadi kalau dapat yang lebih kurang tu kita terima saja lah dan pelan-pelan kita cuba pulihkan atau perbetulkan. Lagipun kita ni manusia biasa jugak. Banyak yang kurang, tak sempurna mana pun.”
Kata-kata Atie tidak dijawab oleh Nina kerana tidak ada apa yang hendak disanggah. Sebab itu lah juga dia tetap sabar dengan Cik Noni kerana wanita itu mempunyai pengalaman yang luas dalam kerjanya. Sebagai seorang pemilik syarikat yang baru, Nina memang perlukan sesorang yang jauh lebih berpengalaman darinya untuk memudahkan urusan harian pejabat. Dia perlukan pekerja yang boleh bergerak sendiri dan tidak terlalu bergantung kepadanya.
“Ya, betul lah apa yang kau cakap tu. Sebab tu lah aku bertahan dengan dia. Aku harap dia pun akan dapat bertahan dengan aku. Bukan aku saja-saja nak marah dia tak bertempat. Sebagai sebuah syarikat baru aku kena jaga reputasi syarikat aku ni.”
Atie mengangguk. Memang dia faham sangat perasaan Nina sekarang. Nina berhadapan dengan dugaan hidup yang mencabar sebelum dia akhirnya sedar apa yang sebenarnya dia minat dan ingin lakukan dalam hidupnya.
“Aku tak boleh lah kerja makan gaji ni Atie. Aku tak suka orang arahkan aku buat itu ini sesuka hati diorang aje, konon budak baru…, nak kena belajar banyak benda. Alasan basi. Sedangkan sebenarnya diorang tu yang nak curi tulang, nak kerja senang. Ingat aku ni kuli diorang ke. Isshhh…mak bapak aku keluarkan duit bukannya sikit tau nak bagi aku habis belajar sampai masuk U. Ni senang-senang je diorang nak perlekehkan pasal kemampuan aku nak buat kerja.”
Memang itulah bebelan yang sering Atie dengar dari mulut Nina sejak dia mula mencari kerja selepas berjaya menamatkan pengajian Diploma Perundangan dan kemudiannya Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam.
“Habis tu kau ni sebenarnya nak buat apa Nina? Aku pun pening la dengan kau. Masuk ni dah lima kali kau berhenti kerja tau tak? Aku pun dah tak tahu la sama ada kau yang bermasalah atau boss kau yang bermasalah. Kalau setakat berhenti kerja di satu tempat je normal lah kot. Tapi kalau dalam masa satu tahun sampai lima tempat, aku rasa there is something wrong with you la beb.”
Atie tanpa berlapik-lapik terus meluahkan pendapatnya. Terbeliak biji mata Nina mendengar kata-kata Atie. Atie tidak peduli. Dia tahu marah Nina padanya bagai mencurah air sejuk ke atas dapur panas sahaja. Berasap-asap pada peringkat awal sahaja tetapi kemudian pasti akan sejuk. Berani lah minah itu hendak panjang-panjangkan sebab hanya Atie sahaja yang boleh tahan dengan perangai peliknya selama ini.
“Aku memang tak boleh lah Atie kalau semua benda yang bukan bawah senarai tugas aku pun diorang nak suruh aku buat. Yang aku bengkek lagi ialah…, orang yang sepatutnya buat kerja tu tak ada lah pulak dia nak suruh. Mentang-mentanglah aku junior, dia ingat senang-senang aje nak buli aku ya. Piiraahhh. Tengok lah dengan siapa diorang nak perlekeh.”
Berapi-rapi lagi Nina meluahkan ketidakpuashatiannya. Atie hanya mampu menggeleng kepala. Tidak tahu apa lagi nasihat yang patut diberikannya kepada Nina. Sudah habis segala kata-kata motivasi dibahaskan kepada sahabatnya itu tetapi ia ibarat mencurah air ke daun keladi. Mengalir terus tanpa diserap langsung ke dalam fikirannya.
“Lantak kau lah Nina. Aku pun buntu nak nasihat apa lagi. Sekarang ni aku rasa baik kau buat Solat Istikharah, mintak petunjuk dari Allah s.w.t apakah jalan terbaik yang patut kau ambik untuk masa depan kau. Ya lah…, kalau kau dah tak boleh nak kerja bawah orang, tak boleh kena suruh itu ini, mungkin kau kena bukak syarikat sendiri. Jadi boss.” Akhirnya kata-kata itu yang terluah dari mulut Atie.
Dan dari ayat yang keluar dari mulut Atie itulah, akhirnya tertubuhlah syarikat “Nina Private Investigations” atau singkatannya Nina PI. Selain dari menawarkan perkhidmatan sebagai Penyiasat Persendirian, Nina juga menawarkan khidmat nasihat guaman berbekalkan pengetahuannya di dalam pengajian Undang-Undang di UiTM dulu. Selepas mendaftarkan nama syarikat di SSM, dia memohon pula lesen di bawah Seksyen 2(b) di bawah Akta Ejensi Persendirian 1971 seperti yang dikehendaki oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.