E BOOK IRFAN KHAIRI

7.0 Is Here!
iDevAffiliate 7
Price: $99.99 USD



more information
Showing posts with label HARAPAN. Show all posts
Showing posts with label HARAPAN. Show all posts

Monday, December 25, 2017


Assalam semua, 

Sempena kedatangan tahun baru 2018 ini, saya buat potongan harga untuk pembelian kombo novel #Selingkuh dan #Harapan. Hanya RM50 untuk pembelian 2 novel ini dan harga ini termasuk kos pos. Potongan harga yang sangat berbaloi memandangkan jika membeli harga berasingan dengan harga biasa, harga Selingkuh adalah RM23 dan harga novel Harapan adalah RM35. Di bawah ini saya kongsikan random teaser untuk kedua-dua novel ini. Untuk teaser yang lain, boleh juga dilihat di facebook dan grup fb Aini Marisha.


Novel Selingkuh.

Apabila Hazlan masuk ke bilik air, aku memasukkan pakaian yang dipakai Hazlan ke dalam raga pakaian. Telefon bimbit dan dompet Hazlan ku letakkan di atas meja. Baru sahaja aku hendak melangkah ke katil, telefon bimbit Hazlan bergetar. Aku pelik. Kenapa pula Hazlan meletakkan telefon bimbitnya dalam mode “Vibrate”. 
“Patut lah tak dengar panggilan yang masuk.” Aku meneka-neka lagi.
“Mungkin sebab ada mesyuarat di pejabat tadi agaknya…”
Aku membiarkan sahaja telefon itu bergetar. Tetapi apabila berkali-kali panggilan masuk, aku bangun dari katil. Aku mengambil telefon untuk melihat nama pemanggilnya tetapi panggilan telah berhenti.
“Siapa pulak call tengah-tengah malam ni. Tak boleh tunggu esok ke? Selalunya kalau call malam-malam ni tentu ada urgent matter…” Hatiku bersoal jawab.
Panggilan tadi membuatkan aku pula yang bimbang. Hazlan pula masih lagi di dalam bilik air. Aku cuba melihat panggilan yang masuk tadi tetapi gagal. Hazlan telah menukar screen lock di telefon bimbitnya. Aku semakin pelik kerana sebelum ini aku boleh membuka telefon bimbit Hazlan dan melihat segala panggilan masuk serta pesanan yang diterima oleh Hazlan. Tetapi kenapa kali ini dia mengunci telefon bimbitnya dan menukar kata kuncinya? 
Aku cepat-cepat meletakkan telefon bimbit Hazlan apabila aku terdengar bunyi seperti Hazlan akan keluar dari bilik mandi. Aku bergegas naik ke atas katil dan berpura-pura membaca novel yang memang sedia ada di tepi katil. Apabila Hazlan membuka pintu bilik air, aku tersenyum ke arahnya.
Hazlan terus menuju ke almari pakaian sambil mengelap kepalanya yang basah dengan tuala kecil.
“Err….abang. Tadi ada call masuk.” Aku memberitahu apabila Hazlan sedang mengambil bajunya. Hazlan seperti terkejut apabila mendengar kata-kataku kerana aku nampak bahunya tersentak. Aku mengamati lagi reaksi Hazlan. 
“Ya ke…? Siapa call? Sayang tak tolong jawab kan ke?” Hazlan menoleh ke arahku. 
“Tak sempat nak jawab. Call dah berhenti. Tak dapat nak tengok caller sebab telefon abang lock.”
“Biar je lah. Kalau penting sangat, sikit lagi dia call la semula. Kalau tak…esok pun boleh cakap. Sekarang ni abang nak layan permaisuri abang ni. Yang lain-lain boleh tolak tepi. Telefon ni memang abang tukar lock baru-baru ni sebab dalam ni kan ada macam-macam maklumat pasal syarikat. Bahaya kalau orang dapat baca.” 
Hazlan mengambil telefon bimbitnya kemudian memeriksa panggilan yang masuk. Tanpa melihat pun, Hazlan tahu pasti panggilan itu dari Farisya. Tetapi Hazlan tidak bimbang kerana sebelum masuk ke rumah tadi dia telah menukar nama Farisya kepada Fahmi bagi mengaburi mata Rania. Cuma silapnya, dia terlupa untuk “block” kan nombor telefon bimbit Farisya. 
“Siapa yang call tadi abang?” aku masih ingin tahu.
“Ni haa.., Fahmi.” Hazlan terus menunjukkan nama pemanggil. Aku mengangguk melihatnya. Nama Fahmi terpapar di skrin.
“Siapa Fahmi ni?” tanyaku lagi.
“Staff kat pejabat. Anak dia main telefon la kot. Memang sebelum ni pun ada jadi macam ni. Tu la orang sekarang. Anak-anak masa kecik lagi dah diajar umpan dengan telefon bimbit. Macam ni lah jadinya.”
Dengan membelakangkan Rania, Hazlan terus “Off” kan telefon bimbitnya agar tiada apa-apa lagi panggilan atau pesanan yang masuk. 
Aku lega mendengar jawapan Hazlan. Ternyata Hazlan tidak teragak-agak memberikan jawapan dan aku yakin Hazlan bersikap jujur.


Novel Harapan

Pekerja wanita itu menghulurkan tangannya untuk mengambil Aryyan tetapi Aryyan terus memalingkan mukanya dan semakin kuat memeluk Rania. Rania semakin serba salah. Dia semakin berat hati untuk melepaskan Aryyan. 
“Mari sayang. Kita pergi main ya.” Pekerja itu cuba memujuk Aryyan lagi dan perlahan-lahan cuba menarik tubuh kecil itu. Aryyan yang seolah-olah faham apa yang bakal berlaku mula menangis.
Rania memejamkan mata, cuba menguatkan semangatnya. Dia tahu dia perlu juga menyerahkan Aryyan walaupun perasaannya enggan membenarkan.
“Aryyan sayang, jangan macam ni. Aryyan buat mommy lagi sedih. Kakak ni nak bawak Aryyan pergi tempat best. Aryyan duduk sana dulu ya. Nanti mommy akan datang tengok Aryyan.”
Selepas berkata begitu, Rania terus menyerahkan Aryyan kepada pekerja tersebut dan dia terus melangkah pergi tanpa menoleh lagi. Tangisan Aryyan yang semakin kuat membuatkan langkah Rania semakin lemah dan perlahan tetapi dengan satu tarikan nafas, dia melajukan langkahnya semula sehingga akhirnya dia berjaya juga keluar dari bangunan itu. Rania terus berlari ke arah tepi bangunan di kawasan yang lebih tersorok kemudian menangis semahu-mahunya. Dia memang tidak mampu, tidak mampu hendak berhadapan dengan saat perpisahan begini.
Rania tersentak apabila tiba-tiba bahunya dipegang dari belakang. Dia yang sedang dalam keadaan yang sangat sedih terus berpaling dan menyembamkan kepalanya ke tubuh yang sedang berdiri di hadapannya.
“Damia.., mommy tak sanggup. Mommy tak mampu kehilangan orang yang mommy sayang. Mommy tak kuat Damia, mommy tak kuat untuk menghadapi saat-saat macam ni lagi.”
“Rania…,” 
Rania terus terpempan apabila mendengar namanya dipanggil. Tangisannya serta merta berhenti. Dia terus mendongak dan sangat terkejut. Tubuh yang disangkanya Damia sebenarnya adalah Taufiq Hidayat. Rania terus menjauhkan dirinya dari tubuh lelaki itu. Dia terus berpaling dan membelakangkan Taufiq Hidayat. Kerana terlalu malu, Rania terus melangkah pergi dari situ, meninggalkan Taufiq Hidayat tanpa kata.
Taufiq Hidayat masih juga berdiri di situ. Dia juga sangat terkejut dengan tindakan Rania tadi. Tetapi apabila mendengar rintihan Rania tadi, dia sedar Rania telah tersilap orang. Dia tidak menolak tubuh Rania bukan kerana dia hendak mengambil kesempatan tetapi dia tidak sampai hati melihat keadaan Rania begitu. Semasa Rania memeluknya tadi, Taufiq Hidayat hanya tegak berdiri membiarkan Rania meluahkan perasaannya dan dia langsung tidak membalas pelukan Rania.
Di dalam kereta, Rania dan Taufiq Hidayat langsung tidak bercakap. Rania hanya merenung ke luar tingkap. Damia juga melayan perasaan sedihnya di tempat duduk belakang. Suasana sangat sunyi, hanya lagu-lagu dari radio yang dipasang sahaja menjadi santapan telinga mereka. Tetapi apabila kereta Taufiq Hidayat berhenti di depan rumahnya, Rania tidak ada alasan untuk tidak bersuara lagi......




Tuesday, October 10, 2017

PROMOSI- HARGA KOMBO JAUH LEBIH MURAH

Assalamualaikum

Inginkan harga yang lebih murah? Dapatkan harga kombo yang jauh lebih murah dengan pembelian novel Selingkuh dan Harapan. Hanya RM60 untuk 2 buah novel termasuk bayaran pos. Cepat dapatkan dengan penulisnya sendiri sebelum stok kehabisan.





12 SEBAB KENAPA ANDA PERLU BACA NOVEL SELINGKUH DAN HARAPAN


Sebab-sebab kenapa anda perlu membaca/cuba membaca Novel Selingkuh dan Harapan:

1. Ada kisah cinta suami isteri
2. Ada kisah cinta pasangan kekasih -cinta yang matang, selamat dan sopan.
3. Kisah kesetiaan dan kecurangan
4. Kisah kasih sayang antara anak dan ibu bapa.
5. Kisah penyesalan
6. Kisah dendam
7. Kisah yang penuh debaran
8. Kisah yang penuh suspen
9. Kisah persahabatan
10. Kisah pengabaian terhadap anak
11. Kisah tamakkan kekayaan
12. Kisah berkaitan dengan mahkamah dan polis.

😏😏😏 Apa lagi yang anda mahukan? Oh ya! Cuma tak ada kisah hantu dan seram je dalam ni sebab saya takut!!!😁😁😁. Yang lain-lain semua ada...perencah secukup rasa, insyaAllah. Yang penting satu keluarga boleh baca novel ni. Selamat untuk bacaan umum. Tidak perlu nak sorokkan dari anak-anak lepas baca novel ni ya.

Tertarik tak? 😅😅😅 Amacam promosi saya????
Kalau berminat boleh DM atau email ke ainimarisha@yahoo.com.


REVIEW NOVEL SELINGKUH DAN HARAPAN

Review dari seorang pembaca Novel Selingkuh dan Harapan.


Dari Puteri Nur Laila (Facebook)

Novel berkesinambungngan.. Selingkuh dan Harapan..
Start dari selingkuh.. Novel setebal 248 muka surat. Mengisahkan Rania yg di khianati suaminya.. memang rasa geram marah bengang semua ada.. memang terbaik.. Plot pun tersusun cuma nk ending tu macam rasa cepat sgt.. tgh2 feeling dh habis..
Novel Harapan plak muka surat setebal 399. Sambungan selepas Rania bebas dari penipuan Hazlan. Rania memulakan hidup baru bersama kisah percintaannya dengan seorang doktor Taufik Hidayat. Plot cerita memang disusun dengan baik. Garapan jalan cerita memang best.
Semoga penulis terus success utk next project.. Gud luck sis.. Aini Marisha.. All the best.
Rekomen utk korang2 yg minat ceta family camni..bagi akak yg dh kertu ni memang best lah..


NOVEL SELINGKUH DAN NOVEL HARAPAN - SINOPSIS

Novel Harapan adalah bersambungan dari novel Selingkuh. Kedua dua novel ini lebih kepada sebuah novel yang menceritakan mengenai konflik yang berlaku di dalam sebuah keluarga. Ia mengenai Rania dan Hazlan yang telah berkahwin hampir 13 tahun dan dikurnai seorang anak perempuan yang telah berumur 12 tahun. Hidup mereka bahagia dan Rania tiada sebab untuk meragui cinta Hazlan. Namun godaan dari seorang gadis jelita bernama Farisya telah berjaya meruntuhkan tembok kesetiaan Hazlan selama ini. Kisah seterusnya menyaksikan bagaimana Hazlan curang kepada Rania sehingga akhirnya dia ditangkap dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan cuba membunuh Rania dengan menggunakan racun.
Hazlan menyesal atas setiap perbuatannya dan cuba meminta maaf dari Rania. Namun hati Rania sangat terluka walaupun masih ada cinta buat lelaki itu. Pada masa yang sama seorang doktor tampan bernama Taufiq Hidayat telah jatuh cinta kali pertama pada Rania. Dendam kepada Farisya dan harapan untuk bersatu kembali dengan keluarganya telah menyebabkan Hazlan nekad mencari jalan untuk lari dari penjara. Kisah dalam Harapan banyak mengisahkan tentang Hazlan yang cuba membalas dendam pd Farisya dan juga harapannya untuk melihat keluarganya bersatu semula. Novel HARAPAN sarat dengan pelbagai emosi, sedih, marah, dendam, kasih sayang dan cinta.
Dapatkah Taufiq Hidayat menyembuhkan luka di hati Rania akibat kecurangan Hazlan?
Berjayakah Hazlan memenangi semula hati Rania dan menyatukan semula keluarganya?
Dapatkah Hazlan membalas dendam kepada Farisya iaitu gadis yang telah menggodanya dan kemudian meninggalkannya apabila dia dimasukkan ke penjara...
Untuk mengetahui segala persoalan ini dapatkan novel Selingkuh dan Harapan.


PROJEK E-BOOK NOVEL

Assalamualaikum,

Seperti yang telah saya war-warkan sebelum ini, novel Selingkuh telah habis stok. Saya sedang deal untuk reprint cuma saya tak dapat harga yang sama seperti sebelum ini disebabkan kos yang meningkat iaitu harga kertas dan ink. Hmmm..., pening jugak kan. Jadi solution yang saya boleh fikirkan sekarang adalah untuk offer jualan novel Selingkuh secara e-book. Harga off course la lebih murah dari harga buku fizikal. Cuma yea, ada yang tak selesa dengan bacaan secara e-book sebab tak puas tak dapat pegang buku betul. Rasanya yang boleh terima bahan bacaan e-book ni orang-orang muda sahaja.

Novel Harapan masih ada stok tapi tak banyak. Kedua-dua novel ini kisahnya adalah bersambungan. Oleh itu kena baca Selingkuh dulu untuk tahu kisah yang berlaku di dalam Harapan.

Anyway, jika berminat untuk membaca novel Selingkuh secara e-book, boleh DM saya di facebook atau e-mail ke ainimarisha@yahoo.com



PETIKAN NOVEL HARAPAN - PROLOG

Di bawah ini saya sharekan beberapa petikan Bab yang ada dalam Novel Harapan

Prolog

“A
ku terima nikahnya Rania Suri binti Ismail dengan mas kahwinnya RM2,000-00 tunaiiii.”

Pak Yaakob merangkap Tok Kadi yang menikahkan pasangan itu memandang dua orang saksi yang mengapit di kiri dan kanan pengantin lelaki bagi memohon pengesahan lafaz nikah.

“Sah”

“Sah”

“Alhamdulillah…” Taufiq Hidayat meraup wajah tanda syukur. Sempat lagi dia menjeling wajah isterinya apabila dia bersalam dengan saksi yang berada di sebelah kanannya. Cantik! Jelita! Ayu! Tidak tahu bagaimana lagi hendak digambarkan wajah Rania pada hari itu yang baru sahaja sah menjadi suri hidupnya.

Taufiq Hidayat cuba mengintai sinar gembira di mata Rania namun isterinya itu hanya tunduk. Perasaan Taufiq Hidayat tersentuh apabila dia melihat Rania mengesat air mata yang mengalir di pipi. Mahu rasanya dia pergi mendapatkan Rania untuk mengelap air mata yang mengalir. Dia sudah berjanji dengan dirinya sendiri bahawa dia tidak akan sesekali mahu melihat Rania bersedih lagi. Jadi untuk apakah air mata itu di waktu ini? Adakah Rania tidak gembira dengan penyatuan ini? Ahh…tidak mungkin. Taufiq Hidayat cukup pasti itu adalah air mata penuh kesyukuran. Dan ia terbukti apabila akhirnya Taufiq Hidayat ternampak sinar bahagia di mata Rania apabila isterinya itu mengerlingnya sekilas.

Alhamdulillah…, perjalanan majlis pernikahan mereka berjalan lancar dan telah selesai tanpa sebarang masalah. Jam sekarang sudah menunjukkan pukul 9 malam. Ibu dan ayah Rania sudah masuk ke dalam bilik untuk tidur kerana kepenatan seharian melayan tetamu. Saudara mara yang lain begitu juga. Ramai yang telah pulang ke rumah masing-masing dan ada juga yang bermalam di rumah mereka.
“Assalamualaikum…”

Taufiq Hidayat memberikan salam apabila masuk ke bilik tidur. Pada waktu itu Rania sedang mengemaskan baju-baju yang telah dipakai semasa majlis tadi.

“Waalaikummussalam….” Rania menjawab salam kemudian menoleh sekilas ke arah Taufiq Hidayat yang kini menjadi suaminya. Senyuman manis bersama hati yang dipenuhi debaran terukir di bibir merah Rania.

Ketika itu wajah Rania polos tanpa sebarang alat solekan. Segala alat solek yang menyaluti wajahnya di siang hari telah dicuci bersih. Rambutnya yang lurus dan panjang separas bahu dilepaskan sahaja. Taufiq Hidayat sangat terpukau dengan kecantikan Rania. Ini pertama kali dia melihat rambut Rania dan dia jatuh cinta lagi entah yang ke berapa kali. Wow! Wow! dan Wow! yang entah ke berapa kali meletus di dalam hatinya. Terpukau dan terpaku dengan kecantikan wanita di hadapannya. Betapa bertuahnya dia rasakan di waktu ini kerana dapat menjadikan Rania miliknya.

“Abang!!!” Panggilan beberapa kali dari Rania mengejutkan Taufiq Hidayat dari keadaan terpukau itu. Dia malu sendiri dengan igauan yang tidak henti-henti.

“Ya sayang…”

Terpacul perkataan itu buat pertama kali di bibirnya. Rania terkedu dan merah padam mukanya apabila mendengar perkataan yang tajam menusuk hatinya. Taufiq Hidayat pula terus berpaling ke belakang, menyembunyikan wajahnya yang kepanasan. Walaupun mereka telah sah menjadi suami isteri namun perasaan malu masih menebal antara mereka.

Rania duduk di birai katil selepas menyimpan semua barang perhiasan ke dalam kotak di atas almari cermin. Gelang emas di pergelangan tangan kanannya dipintal-pintal dengan debaran dan desah yang tidak mahu hilang. Walaupun ini adalah perkahwinan keduanya, namun lelaki yang akan menyentuhinya buat pertama kali pada malam ini adalah lelaki yang berbeza. Debaran yang dirasakannya pada malam ini tetap sama, Sama seperti malam pernikahannya dengan Hazlan. Rania terkejut…, ada air mata yang mengalir membasahi pipinya. Cepat-cepat disekanya…, tidak mahu ia dilihat oleh Taufiq Hidayat. Biarlah lelaki itu memiliki hatinya yang telah terubat sepenuhnya akibat kedukaan lalu. Rania berjanji dengan dirinya untuk membahagiakan Taufiq Hidayat dan menjadi isteri yang solehah sehingga ke syurga.

Taufiq Hidayat pula masuk ke bilik air untuk menenangkan diri sebentar. Degupan jantungnya sudah seperti kereta api laju…, jika tiada tulang rusuk yang menjadi sangkar, sudah pasti degupan jantungnya akan kelihatan jelas di kulit dadanya. Berdebuk debak sehingga dia sendiri lemas.
“Tak ada salahnya aku nak panggil sayang. Dia kan isteri aku…” Taufiq Hidayat cuba meredakan perasaan gugup dan gemuruh yang menguasai diri.

“Bertenang Taufiq…, kau suami. Kau adalah nakhoda. Kau adalah ketua keluarga. You can do it!!!”  Hati dalaman Taufiq Hidayat tidak henti-henti memberi kata-kata perangsang.

Taufiq Hidayat menarik nafas panjang, mengelap peluh di wajah kemudian menghembuskan semula nafasnya perlahan-lahan. Ya!!! Dia telah bersedia untuk ke langkah yang seterusnya. Telah lama dia menunggu saat ini iaitu untuk menjadikan Rania miliknya secara lahir dan batin.

Dengan lafas Bismillah, tangan Taufiq Hidayat mengenggam tombol pintu bilik air. Dia terus memutar tombol pintu itu sambil membayangkan wajah isterinya yang jelita, yang penuh menggoda dan sudah pasti sedang menunggu kehadirannya. Dengan memandang sekilas wajahnya di cermin serta merapikan rambutnya ke belakang, Taufiq Hidayat menarik daun pintu bilik air dengan sepenuh hati dan dengan dada yang dibidangkan…..

“Kringgggggg!!! Kringgggg!!!! Kringgggg!!!” tiba-tiba kedengaran satu bunyi yang amat nyaring. Sangat-sangat membingitkan telinganya. Taufiq Hidayat menekup kedua-dua telinganya….
‘Bunyi apa pulak tu?!’ Taufiq Hidayat cuba mengenalpasti bunyi yang menganggu konsentrasinya. Matanya tiba-tiba terbuka luas. Dia terus memerhatikan sekeliling. Cuba mencari isterinya Rania tetapi….

“Ahhhhhh!!!!” Taufiq Hidayat menjerit dengan perasaan kecewa.

“Aku mimpi rupanya!!!!” Taufiq Hidayat cuba sedaya upaya memejamkan matanya semula tetapi walaupun beberapa kali dia mencuba, tetapi masih juga gagal untuk lena. Wajah Taufiq Hidayat kelat. Bibirnya memuncung. Dia mencapai bantal panjang dan terus memeluknya dengan perasaan kecewa dan muka yang monyok.


“Padan muka kau Taufiq. Dah tua-tua macam ni baru nak bercinta…..huhuhu…, Rania…I miss you Rania,” rintih Taufiq Hidayat. 

REVIEW NOVEL HARAPAN


Di bawah ini saya sharekan berita tentang novel Harapan. Review yang diterima dan kenangan bersama antara pembaca-pembaca yang membeli novel Harapan. Ingin mengetaui info lanjut tentang novel Harapan? Boleh DM saya di facebook atau e-mail ke ainimarisha@yahoo.com












NOVEL HARAPAN

Alhamdulillah, sambungan novel Selingkuh sudahpun siap. Ramai yang telah mendapatkannya. Jika berminat boleh DM saya di facebook atau e-mail ke ainimarisha@yahoo.com. Harga novel Harapan adalah RM35. Bayaran pos adalah RM8. Jika hendak dapatkan harga yang lebih jimat, beli secara kombo.