E BOOK IRFAN KHAIRI

7.0 Is Here!
iDevAffiliate 7
Price: $99.99 USD



more information

Sunday, February 28, 2016

MANUSKRIP BARU - SENTAP

Assalamualaikum dan selamat tengahari...

Kalau sesiapa yang pernah singgah di blog saya ni, saya nak ucapkan terima kasih la kerana sudi menyinggah walaupun tuanpunya rumah jarang sekali singgah rumah sendiri. Sudah macam homestay pulak. Datang ke sini jika perlu dan jika nak update mengenai novel dan penulisan sahaja.

Hari ni saya ada masa lapang sikit...sikit je la. So, tiba-tiba teringat nak update blog. Selama ni saya hanya aktif update facebook sahaja. Kalau nak tahu cerita terbaru saya, boleh lah jenguk fb saya ya. Nama sama...cari sahaja Aini Marisha. Tak pun klik sahaja ikon fb di tepi blog ni.

Di ilham sekarang, manuskrip terbaru saya yang telah siap sepenuhnya ialah "Kan Aku Dah Kata". Manuskrip telahpun dihantar kepada editor tetapi masih belum mendapat kelulusan. Ye lah...siapalah saya kan. Bukan penulis hebat sangat pun, follower pun tak ramai (*merajuk)...hehehehe.
Mengada-ngada saja kan dah tua-tua nak merajuk.

Apa-apa pun semuanya bergantung pada rezeki masing-masing. Belum lagi sampai rezeki untuk novel tu diterbitkan. Tak apalah...kalau reject, saya cari lah option lain. Terbitkan sendiri ke....lagipun sekarang ni memang ramai penulis dah buat novel yang Limited edition ni kan...print on demand. In sha Allah saya akan pertimbangkan jika rasa perlu berbuat demikian nanti.

Lupa pulak...saya nak share sikit la kisah manuskrip yang saya sedang tulis sekarang. Genrenya ialah misteri/penyiasatan. Kalau sudi komen, saya amatlah menghargainya ya. Tq so so so much.


***********************************************************



SENTAP


Prolog:

Risya sudah lembik lutut. Segala isi perutnya sudah habis terkeluar tetapi dia masih ada rasa hendak muntah. Akhirnya hanya air sahaja yang mampu keluar dari perutnya yang telah kosong. Tali perutnya sudah rasa berpintal-pintal dan perutnya terasa memulas-mulas. Nuha juga sudah hilang entah ke mana. Risya sudah tidak pedulikan sesiapa lagi. Apa yang dia tahu, dia perlu pergi sebentar dari tempat itu untuk menenangkan dirinya, jika tidak dia pula yang akan diusung ke hospital kerana dehidrasi. Angin yang tiba-tiba meniup kuat membuatkan Risya muntah kembali. Dia langsung bertinggung. Tapak tangannya melekap ke tanah untuk menahan tubuhnya yang semakin lemah. Bau yang membuatkan Risya berkeadaan begini kembali mencuit deria bau Risya. Memang teruk keadaan Risya kali ini.
Ini kali kedua dia kalah dengan kes yang perlu dia jalankan siasatan. Kali pertama adalah sewaktu dia perlu menyiasat kes pembunuhan yang pertama selepas dia dilantik sebagai sebagai seorang Pegawai Penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah, Balai Polis Subang Jaya. Ia adalah kes dimana seorang lelaki berumur dalam 40an telah ditikam di perut sehingga Risya boleh nampak tali perutnya yang bergulung-gulung. Darah merah pula pekat mengalir membasahkan lantai simen dan Risya hampir pitam. Nasib baik Sarjan Kahar berada di tepinya pada waktu itu. Jika tidak mahu dia terus jatuh ke atas lantai simen yang keras.
Kali ini, mayat yang ditemui telah dikerat-kerat. Bahagian tubuh yang boleh dikenal pasti hanyalah bahagian lengan, peha, betis, dan separuh badan yang telah dipotong dari bahagian tengkuk sehingga ke paras pinggang. Bahagian-bahagian badan yang lain masih tidak ditemui. Yang meloyakan tekak Risya adalah apabila melihat ulat-ulat mayat yang telah memenuhi bahagian-bahagian tubuh tersebut kerana daging-daging sudah mula membusuk, berair dan bernanah. Bau yang keluar dari daging mayat sangat kuat sehingga Risya akhirnya kalah, tidak mampu bertahan lalu memuntahkan segala isi perutnya. Bukan Risya sahaja malah hampir kesemua anggota polis yang berada di situ juga turut muntah-muntah kerana tidak tahan dengan bau yang dihidu. Menyesal pula kerana dia tidak mendengar nasihat Nuha sebentar tadi…tetapi tidak ada apa yang boleh dilakukannya lagi sekarang. Segala donut yang masuk ke dalam perutnya tadi telah habis terkeluar….tidak sempat pun dicernakan oleh asid perutnya.

Setengah jam sebelum itu…..

“Kau janganlah makan banyak-banyak sangat ni. Kita ni nak pergi ke tempat kejadian. Aku takut bila tiba kat sana nanti, semua isi perut kau terkeluar balik aje.”
Nuha menjeling Risya yang terlalu asyik makan donut Big Apple yang dibeli oleh mereka malam tadi di pasaraya Mydin. Beria-ria benar sahabatnya itu makan sehingga langsung tidak menawarkannya sedikit. Tetapi jika ditawarkan pun dia akan menolak kerana memang dia jarang bersarapan seawal ini. Jam di dashboard kereta baru saja menunjukkan jam 7.30 pagi. Mata pun masih lagi mengantuk. Hari-hari minggu seperti ini sepatutnya mereka berdua masih lagi bergolek-golek di atas katil tetapi disebabkan mendapat panggilan kecemasan pada pukul 6.00 pagi tadi, mahu tidak mahu mereka berdua terpaksa juga bangun untuk menjalankan tugas.

“Aku lapor la beb. Malam tadi aku makan sikit aje. Penat kerja tak lalu aku nak makan dah. Pagi-pagi tadi, bila bangun tidur kebulur betul perut aku ni. Pedih. Nasib baik kau tak habiskan donut aku ni malam tadi,” jawab Risya dengan mulut yang masih dipenuhi dengan cebisan donut. Digigitnya lagi donut yang dipegang. Sedap, manis, gebu…semua rasa itu membuatkan dia terlagi-lagi hendak menghabiskan donut-donut yang ada.

*****************************************************
Okey lah ya...buat hari ni...ini sajalah yang ingin saya coretkan. In Sha Allah jika ada kelapangan saya akan menulis lagi di sini ya. Tata...