E BOOK IRFAN KHAIRI

7.0 Is Here!
iDevAffiliate 7
Price: $99.99 USD



more information

Saturday, September 28, 2013

Cerita tentang menjadi penulis

Assalamualaikum wbt......

Salam mesra untuk semua pembaca blog Aini Marisha.

Actually, saya ada jugalah menerima pm dari beberapa rakan atau adik2 yang bertanyakan bagaimanakah ingin menjadi seorang penulis. Ehemm.....malu lah pulak nak bercerita pasal benda ni kan sebab saya bukanlah seorang penulis yang hebat pun berbanding penulis Alaf 21 lain yang lain yang lebih hebat. Huhuhuh...tension jugak kan sebab target nak hasilkan novel setahun sekali macam sukar je untuk direalisasikan. Almaklumlah...saya banyak komitmen lain dan yang paling utama kerja2 di pejabat dan juga tugas2 suri rumahtangga apabila pulang ke rumah. Menulis ni terpaksa saya letakkan di nombor tiga. Nak buat macam mana......saya manusia biasa yang tak mampu nak pulun semua benda. Apa-apapun saya akan cuba yang terbaik. 

Okey, berbalik pada soalan di atas kan. Kat sini saya cuma kongsikan pengalaman saya je lah ya, macam mana saya boleh menjadi seorang penulis. Rata-rata.....saya pasti la hampir setengah daripada penulis akan kata mereka kuat berangan. Hehehee....mula-mula berangan macam mana lah aku ni nak jadi kaya. Nak dapat duit dengan cara yang senang, tak payah guna sangat tulang empat kerat ni kan. Hahaaa......tak de lah kot macam tu. Pandai-pandai jelah Aini Marisha ni kan.

Tapi bab berangan tu memang saya akui. Saya dulu kuat berangan. Saya ingat lagi, sebelum tidur saya akan create cerita-cerita especially kisah pasal remaja-remaja apabila masuk ke universiti nanti. Tapi masa tu berangan je lah kan sebab mana ada duit nak beli mesin taip pun masa tu. Tapi one thing yang saya masih ingat lagi sampai sekarang adalah kisah masa saya kat sekolah menengah. Masa tu saya di tingkatan 5 lah kalau tak silap. Cikgu Alias (cikgu BM masa tu) suruh kami buat karangan tajuk "Kisah yang paling saya tak boleh lupa". Kira-kira macam tu lah tajuknya. Saya telah tulis kisah berkenaan saya jatuh tangga masa kat supermarket sebab masa tu tiba-tiba je blackout. bila lampu dah ada balik, sedar-sedar kat depan saya ada beberapa orang lelaki dan saya dah terjelepuk atas lantai....hehehehe. Lebih kurang begitulah kisah dia. 

Lepas tu Cikgu Alias ni panggil saya ke bilik guru. Dia puji karangan saya dan dia kata saya ada bakat jadi penulis sebab cerita yang saya tulis sangat2 menarik (kata dia lah kan). So dia kata kalau saya memang minat menulis, dia sanggup ajar saya lebih lanjut. Adooiiii mak...bangganya kan. 

Tapi......benda tu berlalu macam tu je. Saya tak kembangkan pun  minat saya tu dan benda tu sepi sampai lah saya masuk Universiti.....and then kerja....and then kahwin...and then jadi ibu. Saya tak boleh nak refresh bila pertama kali saya mula menaip tapi rasanya sekitar tahun 2001. Sedikit sedikit lama-lama tanpa saya sedar saya dah buat 3 manuskrip yang saya taip suka-suka kemudian simpan je dalam komputer untuk bacaan sendiri. Hinggalah pada satu hari saya terdetik untuk cuba nasib menghantar manuskrip saya ke syarikat penerbitan.

Dulu-dulu, masa tahun 2001, 2002 internet ni tak berapa luas penggunaannya. Kat ofis pun line lembap sesangat macam siput b***. So apa yang saya lakukan. Saya beli novel2 yang telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan untuk dapatkan alamat diorang. Saya pun print manuskrip saya dan hantar pada setiap syarikat ni. Cuba-cuba nasib kan. Mana tahu untung sabut, timbullah kan. Tapi saya tak hantar keseluruhan manuskrip ya, saya hantar dalam 10 mukasurat yang pertama je. The truth is...saya memang ada hantar kat pihak alaf 21 masa awal2 dulu tapi tak de jawapan. Senyap sampai sudah. Tapi saya berjaya di syarikat penerbitan yang lain. 3 buah novel pertama saya diterbitkan oleh syarikat lain. Nama novel2 saya tu ialah Saat Mencintaimu, Indahnya Kemaafan dan Pencarian Adleena. Nama pena saya dulu pun lain untuk ketiga2 novel ni. Nama sekarang ni nama komersial yang diberi oleh Alaf 21...sweet kan.

Tapi Alhamdulillah...akhirnya Alaf 21 menerima manuskrip saya yang keempat iaitu Sandaran Hati. Dan seterusnya Usah Menangis Sayang. Dan sejak itulah saya bersama Alaf hingga sekarang. 

Berkenaan dengan cara menulis:

1. Minat menulis mesti ada + rajin. Kalau minat ada tapi malas......faham2 je lah kan. 

2. Niat menulis.......penting ni ya. Dalam Islam, niat ni lah pembuka segala perkara. Nak tahu baik atau buruknya sesuatu perbuatan tu bergantung pada niat kan. Penulis ni sebenarnya macam cikgu jugak. Cuma kami hanya mengajar dengan pena sahaja tak seperti cikgu2 sekolah lain yang berhadapan dengan anak2 murid. Jadi adalah penting penulis meniatkan untuk menjadikan medan penulisan ini sebagai satu dakwah untuk mereka menyampaikan kebaikan kepada pembaca. Tulislah cerita-cerita yang baik, selitkan unsur-unsur nasihat dan kisah2 yang boleh menyentuh jiwa pembaca. Allahuakbar...jika ditakdirkan pembaca tersentuh dengan cerita kita dan tiba2 berubah menjadi yang lebih baik, MasyaALLAH.....pasti kita juga akan mendapat pahalanya kan. Jadi...janganlah menulis hanya kerana nak kaya, nak glamour. Niatlah untuk mendapat keredhaan ALLAH.

2. Beli novel-novel sedia ada, dan ikut cara penulisan mereka terutama macam mana nak buat dialog. Macam mana nak mulakan Bab dan berapa banyak mukasurat yang diperlukan untuk satu2 bab dan sebagainya. Saya kongsikan sedikit info. Selalunya dalam 1 bab, mukasurat adalah lebih kurang 5  sahaja. Tapi kalau nak lebih atau kurang terpulanglah pada penerbit nak terima atau tak kan.

3. Permulaan yang baik adalah sangat penting kerana ia adalah penarik minat utama kepada pembaca. Contohnya kalau orang nak beli majalah. Kalau cover dia gambar CT Nurhaliza...laju je orang belikan. Ce letak pulak gambar Aini Marisha...hhhmmmmm alamat pulang balik la majalah tu kat kilang kan sebab x laku2  hehehe

4. Untuk dialog, selalunya kita akan mulakan dengan ".........................................dan tutup semula dengan "

5. Untuk dialog juga. Jika buat ayat macam ni...

"Ayah nak pergi masjid," maklum ayah kepada Aini yang sedang asyik menonton televisyen.  
Untuk ayat kat atas....yang saya bold kan tu. Saya cuma nak bagitahu kita kena letak koma (,) selepas perkataan masjid tu dan bukannya noktah (.). Ini kerana ayat ni belum tamat lagi.....faham tak. kalau tak faham, saya bezakan dengan ayat kat bawah pulak.

"Ayah nak pergi masjid." Selepas memaklumkan kepada Aini, Yahaya terus keluar dari rumah menunggang motor kapcainya. 

Haaa....faham kan. Untuk dialog ni saya letak noktah. Pasai apa pulak kan? Hehehee...ada yang garu kepala ni. Senang je. Sebab ayat ni dah habis. That's why letak noktah. So kalau kita letak ayat2 macam "ujar ayah......maklum ayah...tanya ayah....jawab ayah......selar ayah...tengking ayah.....

semua ayat2 ni kita kena letak koma (,)  ya.

6. Untuk setiap perenggan baru dan dialog baru, kita akan tab ke depan sikit permulaan ayat/dialog baru ya.

7. Tulis lah sesuatu yang kita tahu atau familiar. Haaa....sebab tu lah saya lebih selesa tulis pasal kawasan negeri Perak sebab kat negeri ni lah saya tahu serba serbinya. Nak tulis pasal negeri lain takut x betul ke jalan2nya nanti gelak di orang Kedah pulak. Tapi tak pe...kalau nak buat pasal negeri lain ke atau nak cerita pasal sesuatu perkara lain, make sure kita buat research betul2 pasal benda yang kita nak tulis tu. Ini untuk memastikan kita tak bagi maklumat yang salah pada pembaca. 

8. Untuk  1 manuskrip novel dewasa selalunya, mukasurat yang diperlukan adalah lebih kurang 350-550 mukasurat. 

9. Tema....ikut pada kehendak penerbit. Yang penting cerita yang ditulis menarik dan akan menarik minat pembaca. Sebab kita sedang berurusniaga sebenarnya dengan  penerbit. So bila berbisnes, keuntungan adalah penting untuk mereka terus berkembang maju. Jadi amat penting untuk kita menghasilkan karya2 yang boleh dijual. 

10. Banyakkan membaca novel2 lain di pasaran terutama yang popular untuk melihat trend yang diminati oleh pembaca sekarang. Tapi elakkan daripada terlampau terikut2 dengan cara mereka menulis sehingga tanpa kita sedar kita terciplak cerita mereka. 


Apa lagi ya.....oh ya. Promosi. Penting jugak ni. Dalam area teknologi maklumat sekarang, tak susah sebenarnya nak buat promosi. Macam-macam laman social ada. Facebook, twitter, blog, instagram dll. Gunakan medan ini sepenuhnya. Lantak  pi lah  kalau orang kata hang pa ngada-ngada sebab asyik nak promote novel. Kalau kita tak promote novel sendiri, ada ke diorang nak tolong promote kan dengan free kan. So....buat tak tau je pada semua komen negative. Sentiasa berfikiran positif ya. MALAYSIA BOLEH dan anda juga BOLEH. Banyak jugak grup2 di fb yang telah dibuka khas untuk review dan promote novel2.

So...itu saja kot. Kepada bakal2 penulis, teruskan usaha anda (peringatan untuk diri sendiri jugak ni). Sama-sama lah kita menetapkan target untuk keluarkan novel banyak2 ya......aminnnnn




Tuesday, September 17, 2013

bab 5 : Akukah yang Ego

Sedikit sedutan dari manuskrip baru.....

Bab 5

Dia tak diam telah dua minggu Faizal bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di sini. Dan dalam dua minggu itu jugalah dia sering melihat Amira Saira yang juga turut bertugas di balai yang sama. Walaupun perubahan fizikal Amira telah banyak berubah namun senyuman manisnya tetap sama seperti dulu. Cuma senyuman itu tidak pernah diberikan kepada Faizal. Faizal hanya dapat melihatnya apabila Amira Saira berbual dengan kawan-kawannya atau dengan pegawai yang lain.
Faizal tahu Amira Saira sangat marah padanya. Mungkin juga sehingga sekarang perasaan marah itu masih lagi merah membara kerana Amira Saira tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia telah memaafkan Faizal. Faizal sedar dia yang bersalah. Oleh itu dia tidak mahu terburu-buru mendekati Amira Saira walaupun dia boleh mengeluarkan apa sahaja arahan memandangkan dia adalah ketua jabatan di sini.
Faizal mengimbas kembali kenangan semasa mereka bersekolah dahulu. Faizal tergelak sendiri apabila dia teringatkan kenakalannya di sekolah. Memang dia akui dia agak nakal. Bukan sekali, bahkan telah banyak kali Cikgu Hasnol memanggilnya ke bilik guru atas kesalahan disiplin yang telah dilakukannya. Pernah sekali dia meletakkan sirap merah atas kerusi Fatin yang terkenal kerana kecantikannya di sekolah mereka. Fatin memandangnya sebelah mata kerana dia tidak sekacak pelajar-pelajar lelaki lain di sekolah mereka malah Fatin membencinya dan sering mengejeknya dengan perkataan cicak kubing. Tanpa dilihat oleh seseiapa, dia meletakkan beberapa titik sirap ros di atas kerusi Fatin. Fatin langsung tidak sedar perkara ini dan apabila dia bangun, semua mata memandang ke bahagian belakangnya kerana sirap itu kelihatan seperti darah haid yang meresap ke bajunya. Merah padam muka Fatin kerana malu dan Faizal yang memerhatikan dari jauh ketawa besar sampai meleleh-leleh  air mata. Mana tidaknya, dia dapat melihat Fatin yang berjalan tersipu-sipu menuju ke bilik air sambil menutup belakang bajunya dengan kertas lukisan besar.
“Apa kena kau ni Fatin? Period tembus ke?” tanya Faizal, sengaja hendak memalukan Fatin. Fatin hanya memuncung  dan terus berlari-lari ke tandas perempuan. Faizal dan kawan-kawannya ketawa berdekah-dekah sehingga berair mata. Dan sehingga kini Faizal yakin tiada siapa yang tahu bahawa dia lah yang melakukan perkara itu kepada Fatin.
“Apa kena dengan kamu ni Faizal? Saya terima banyak sangat aduan. Dari guru-guru, dari pelajar, dari orang luar..... Apa masalah kamu ni sebenarnya?” Cikgu Hasnol bertanya dengan pandangan yang tajam. Wajahnya serius tanpa sebarang senyuman yang terpamer. Faizal hanya tunduk memandang lapik meja berbunga-bunga kecil warna biru. Jari-jarinya menarik-narik plastik putih yang dihamparkan di atas meja itu. Dia bosan sebenarnya. Setiap kali ada aduan, dia akan dipanggil. Setiap kali ada pelajar perempuan yang menangis, dia akan dipanggil. Bosan! Dia memang bosan. Di rumah, bapanya selalu terjerit jerit memarahinya. Di sekolah pula guru disiplin iaitu Cikgu Hasnol pula menggantikan peranan bapanya dalam soal siasat. Apa yang mereka mahu daripadanya? Salahkah sekiranya dia ingin bergurau dan bermain-main dengan kawan-kawannya sendiri?
Dia bukannya membunuh orang malah memegang pun tidak. Hanya kata-kata yang agak kasar tidak akan mencacatkan anggota tubuh pelajar-pelajar yang diusiknya itu. Manja sangat. Usik sikit pun tak boleh.....ejek Faizal dalam hatinya. Dia tersenyum sendiri tanpa sedar yang cikgu Hasnol masih memerhatikan setiap tindak tanduknya.
“Kenapa awak senyum-senyum ni Faizal? Kenapa awak tak jawab soalan saya?” Cikgu Hasnol masih cuba untuk bersabar dengan kerenah anak muda di hadapannya.
“Apa lagi yang saya nak jawab cikgu? Saya bukannya buat apa-apa. Usik-usik je. Bukannya luak pun. Dia orang tu yang manja sangat....,” jawab Faizal selamba. Sama seperti jawapannya dalam kes-kes yang lain.
“Itu kata awak....awak mendefinasikan perbuatan awak sebagai usik sahaja, tapi tidak bagi pelajar tersebut. Mereka merasakan usik-mengusik awak tu dah keterlaluan sehingga memalukan mereka. Awak panggil orang dengan gelaran yang tak sepatutnya, bubuh katak, usik barang-barang mereka...semua ini memberikan tekanan kepada pelajar tersebut...,” tegas Cikgu Hasnol. Nada suaranya agak tinggi kerana dia mahu Faizal sedar bahawa perbuatannya adalah salah.
Katak? Gelaran yang mengaibkan? Ha! Dia sudah tahu siapa yang membuat aduan kali ini. Tentu budak gemuk bernama Amira itu. Faizal mahu tergelak apabila kejadian Mira menjerit kerana gelikan katak bermain semula di matanya. Tetapi apabila melihatkan wajah Cikgu Hasnol yang masih serius, sedaya upaya Faizal cuba menahan perasaan geli hatinya. Huh! Padan muka kau! Kau tak kenal siapa Faizal! Getus hati Faizal bangga kerana telah berjaya mengenakan Amira.
“Faizal?” panggil Cikgu Hasnol dengan suara yang tinggi apabila dilihatnya Faizal tidak mengendahkan kata-katanya.
“Errr..ya cikgu?” Tergagap-gagap Faizal menyahut. Kecut juga perutnya apabila mendengar nada suara Cikgu Hasnol yang tinggi.
“Kenapa awak tak jawab?” tanya Cikgu Hasnol dengan pandangan yang tajam.
“Saya nak jawab apa lagi cikgu? Saya main-main aje,” jawab Faizal selamba. Malas dia hendak bertekak dengan Cikgu Hasnol tentang apa yang telah berlaku.
“Saya nak awak minta maaf dengan dia.” Tiba-tiba sahaja Cikgu Hasnol membuat keputusan tanpa sebarang pertimbangan lain lagi.
“Dengan siapa cikgu?” tanya Faizal pura-pura tidak tahu.
“Awak jangan buat-buat tak tahu, Faizal,” ujar Cikgu Hasnol. Geram sungguh dia melihat sikap Faizal yang langsung tidak bertanggungjawab. Sementara itu tangannya menulis sesuatu di dalam diari tugasannya di sekolah.
“Betul cikgu,” serentak itu juga Faizal mengangkat tangan kanannya seolah-olah sedang bersumpah.
“Jangan nak bersumpah-sumpah pulak. Lepas ni saya nak awak minta maaf dengan Amira,” ujar guru kaunseling itu dengan wajah yang serius.
Faizal tersenyum. Betul tekaannya. Amira Saira yang telah membuat aduan mengenainya. Minta maaf? Mungkin boleh tapi aku tidak akan mengalah dengan engkau semudah itu Amira....bisik hati Faizal geram.  
“Baik cikgu, saya janji akan pergi mintak maaf dengan dia nanti,” ujar Faizal dengan wajah yang disedihkan penuh kepura-puraan.
Tetapi ternyata guru yang telah mempunyai banyak pengalaman mengendalikan kerenah pelajar-pelajar sekolah tidak mudah tertipu dengan sekadar reaksi luaran. Cikgu Hasnol mengulum senyum di hujung bibir.
“Tak semudah itu Faizal...,” ujarnya dengan senyuman sinis. Faizal mendongak - hairan.
“Pukul 11.00 pagi, saya akan panggil Amira ke bilik kaunseling dan awak akan meminta maaf kepadanya di hadapan saya,” jelas cikgu Hasnol. Dia memandang wajah Faizal cuba mencari reaksi anak muda itu.
Ada tanda kejutan terpamer di wajah anak muda itu. Reaksinya seolah-olah cuba membantah tetapi gelengan kepala cikgu Hasnol memberikan jawapan tersirat bahawa dia tidak boleh membuat apa-apa rayuan. Dengan longlai Faizal keluar dari bilik cikgu Hasnol. Entah berapa banyak sumpah seranah yang dihamburkan dalam hatinya terhadap Amira Saira. Dia tidak menyangka begitu berani sekali gadis itu mengadu kepada cikgu Hasnol tentang perbuatannya. Nantilah kau...sekali lagi Faizal berbisik geram.
“Apa cikgu Hasnol cakap?” Aswazi yang telah begitu lama menunggu di dalam kelas terus melontarkan soalan.
“Ah! Diamlah kau!” marah Faizal. Wajahnya masam mencuka. Pelajar-pelajar lain yang turut berada di kelas hanya menjeling dan berbisik-bisik dari jauh. Faizal menghempaskan punggungnya ke kerusi dengan kasar. Meja kayu yang hampir penuh dengan contengan dan lakaran akibat vandalisme diketuk beberapa kali. Marahnya terhadap Amira Saira semakin menggunung. Laharnya seolah-olah menunggu masa untuk meletup.
“Eh, apahal ni kawan....” Aswazi masih tidak puas hati. Dia menarik kerusi di sebelah tempat duduk Faizal kemudian menariknya rapat ke meja Faizal.
“Siapa yang komplen pulak kali ni?” tanya Aswazi lagi masih ingin tahu.
Faizal malas hendak menjawab soalan-soalan Aswazi. Matanya memandang tepat ke papan hitam yang masih bertulis dengan beberapa angka dan pengiraan. Dia seolah-olah terbayangkan wajah Amira Saira yang sedang ketawa dan mengejek-ngejeknya.
“Tummm!!”
Aswazi terlompat apabila tiba-tiba sahaja Faizal menumbuk meja dan terus melangkah keluar dari kelas. Pelajar-pelajar lain yang berada di dalam kelas itu juga tersentak dan semua mata memandang ke arah Aswazi. Aswazi menjungkitkan bahunya lalu bergegas keluar membuntuti Faizal.
“Kau ni kenapa Faizal? Nak ke mana ni?” tanya Aswazi lagi sambil beriring berjalan dengan Faizal.
“Aku nak cari minah gemuk tu. Berani dia mengadu pasal aku kat cikgu Hasnol,” jawab Faizal dengan geram. Jari jarinya digenggam erat tanda panasnya hatinya di waktu ini.
“Jangan buat yang bukan-bukan Faizal. Nanti kalau kau kena buang sekolah lagi teruk.” Aswazi cuba memujuk kerana dia sayangkan kawan baiknya itu.
“Ah!! Aku tak peduli. Minah tu memang nak kena ajar sebab kurang ajar sangat,” bentak Faizal lagi. Wajahnya semakin panas membakar. Aswazi hanya mampu menggeleng kepala namun dia terus mengekori langkah Faizal.
Langkah Faizal terhenti apabila dia dapati Cikgu Sharon berada di dalam kelas 5 Mawar. Niatnya untuk bersemuka dan membuat perhitungan dengan Amira Saira sebelum bertemu dengan Cikgu Hasnol terbantut. Faizal bersandar di koridor bersetentang dengan pintu bahagian belakang kelas Amira.  Dia menunggu sekiranya Amira akan menoleh ke belakang sebentar. Jadilah sekiranya dia dapat menunjukkan penumbuknya kepada perempuan gemuk itu sebagai amaran. Lima minit berlalu tetapi Amira langsung tidak menoleh malah cikgu Sharon pula yang merenungnya tajam beberapa kali. Akhirnya dengan berat hati Faizal melangkah semula ke kelasnya.
“Cikgu Hasnol suruh aku mintak maaf dengan minah gemuk tu pukul 11.00 nanti kat bilik kaunseling,” beritahu Faizal perlahan tetapi penuh kemarahan.
“Berani ya perempuan tu,” komen Aswazi, terkejut juga kerana buat pertama kali ada pelajar yang berani mengadu tentang kelakuan Faizal.
“Itulah, sakit betul hati aku. Selama ni bukan tak ada aku usik budak-budak lain, tapi tak siapa berani report kat cikgu. Ini...baru datang sini dah nak tunjuk besar kepala. Dia ingat dia tu siapa? Dia ingat bapak dia Inspektor polis, aku takut??,” bebel Faizal tidak puas hati. Genggaman tangannya semakin kuat mencengkam.
“Habis tu kau kena pergilah ni?” tanya Aswazi lagi sambil menggaru kepala yang gatal.
“Memanglah....kalau aku tak pergi nahas aku kena marah dengan cikgu Hasnol. Lagi teruk lalau dia report pulak kat bapak aku tu...,” jawab Faizal gelisah. Dia merenung jauh kemudian meraup rambutnya yang terjuntai di dahi ke belakang.
“Apa kau nak risau. Bapak kau bukan selalu ada kat rumah pun. Kalau yang dapat tahu pun mungkin emak kau je...,” pujuk Aswazi, cuba meredakan keresahan Faizal.
“Aku tak nak tanggung risiko lah Zi,” luah Faizal dengan nada suara yang semakin mengendur.

Aswazi mengangguk. Kasihan pun ada dengan Faizal yang telah menjadi kawan baiknya sejak mereka di sekolah rendah lagi. Boleh dikatakan dia tahu semua perkara mengenai Faizal dan keluarganya. Dia simpati pada Faizal dan dia faham kenapa Faizal selalu mengusik pelajar-pelajar lain dan cuba menunjukkan kekuatan dan kehebatannya. Itu semua disebabkan oleh sikap bapa Faizal sendiri yang panas baran dan sering memukulnya sejak dari kecil sehinggalah sekarang. Perasaan marah kepada ayah sendiri diluahkan dengan cara membuat apa sahaja yang disukainya demi untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Mereka merokok, mengusik pelajar-pelajar perempuan, melepak, menconteng dinding awam dan adakalanya ponteng sekolah. Tetapi bagi mereka semua yang mereka lakukan masih ada batasan. Mereka tidak sama sekali melakukan perbuatan jenayah yang lain seperti merompak, meragut, dan menghisap dadah. 

Sunday, September 15, 2013

Entry with no title

Hahahaa...boleh pulak macam tu kan. Entry with no title.  Masa tulis post ni, dah pukul 11.20 malam dah pun. Sepanjang minggu ni tak ada la cerita2 menarik yang nak dikongsi2kan. Cuma kami sedang menghitung hari untuk suami yang akan berangkat ke Mekah kerana terpilih sebagai petugas haji tahun ni. Subhanallah. ...rezeki kan. Kalau dah sampai seruNya dapatlah kita menjadi tetamuNya. Macam suami ni memang tak disangka2 kan. Seronoknya dapat peluang macam ni sebab kita tahu bukan senang nak dapat menunaikan haji dengan cara percuma macam ni. Saya sangat2 cemburu sebab saya tak dapat pergi sekali. Doa saya semoga suatu hari nanti ALLAH s.w.t menjemput pula saya ke rumahNya dalam keadaan saya masih sihat dan kuat utk melakukan amal ibadah di sana. Aminnn....

Thursday, September 12, 2013

Projek menjahit jubah

Assalamualaikum. ...

Alhamdulillah kerana cuti belajar ni memberikan saya banyak peluang utk saya explore kebolehan diri sendiri. Setelah berminggu2 bergurukan video2 di you tube dan mengintai2 rumah blogger yg pandai menjahit dan tak kekok ilmu utk berkongsi cara menjahit, akhirnya jubah saya yg pertama siap jugak. Harap2 cikgu2 online saya halalkan ilmu2 yang mereka beri ya. Susah jugak rupanya nak menjahit ni. Tapi alah bisa tegal biasakan... (betul ke peribahasa ni)...hehehee. Jubah ni cutting umbrella atau A cut. Saya mmg suka jubah mcm ni. Nampak cantik terbuai bila kita melangkah. Siapa kata kalau pakai pakaian menutup aurat tak menarik? Pakai jubah, menutup aurat yg penting dpt redha ALLAH s.w.t.  itu yg paling utama kan. Sama2lah kita berhijrah ke arah kebaikan...perbaiki diri utk menjadi insan yang lebih baik dan bukan semakin mundur ke belakang ya.

Okey, itu saja entry utk kali ini. Salam sayang buat kawan2 semua....Assalamualaikum. ...

Tuesday, September 3, 2013

Perjumpaan Penulis-Penulis Grup Buku Karangkraf




Assalamualaikum semua....

Perjumpaan ni actually dah pun berlaku beberapa hari yang lepas iaitu pada 31hb Ogos 2013 bersamaan dengan hari kemerdekaan negara yang ke 56. Sebelum pihak Karangkraf nak confirmkan tarikh perjumpaan memang pening jugak lah pihak penganjur sebab bukan senang ya nak kumpulkan semua penulis mereka dalam satu masa. Ada yang boleh datang, ada yang tak boleh. Ada yang mintak tarikh lain...dan akhirnya nasib baik jadi jugak pada 31hb Ogos tu sebab kalaulah penganjur pilih tarikh 7hb September mesti saya tak dapat nak join majlis tu.

Seronok dapat jumpa rakan-rakan penulis sebab sebelum ni kami hanya mengetahui perkembangan aktiviti menulis masing-masing melalui facebook, blog dan grup novelis alaf sahaja. Sebenarnya lama jugak perjumpaan seperti ni tak dibuat. Seingat saya sejak saya jadi penulis dengan alaf, ada 2 kali kot dan dah lama dah perjumpaan macam ni pernah dibuat.

Berkenaan dengan perjumpaan ni, bukan sahaja saya rasa seronok sebab dapat berjumpa dengan rakan penulis lain, tetapi kesronokan juga bertambah kerana dapat mendengar taklimat daripada CEO Grup Karangkraf dan pegawai-pegawai yang lain seperti Puan Firdaus, Puan Sri Diah dan pegawai2 bertanggungjawab dalam bidang masing2 seperti bahagian jualan dan promosi serta royalti.

Di sini saya jugak nak mengambil peluang untuk berkongsi sedikit sebanyak info yang saya  perolehi sepanjang majlis tersebut. Saya cukup tertarik dengan ucapan yang diberikan oleh CEO iaitu Tuan Haji Hussamuddin yang mana kata2 beliau membuatkan saya rasa semakin bersemangat untuk menulis dan juga rasa sangat bersyukur kerana memilih ALaf 21 sebagai syarikat yang menerbitkan novel saya. Alhamdulillah.....

Antara sebab kenapa saya rasa bersyukur adalah:

1. Pihak Alaf 21 amat mengambil berat tentang isi kandungan novel yang ditulis. Walaupun mereka adalah peniaga dan pasti mahukan keuntungan dalam perniagaan mereka namun mereka tidak akan mengambil mudah berkenaan isu atau unnsur lucah dalam mana2 novel yang mereka terbitkan. Benda yang baik selalunya akan kekal lama.....

2. Tuan Haji juga memaklumkan bahawa penulis juga boleh berdakwah melalui penulisan. Oleh itu penulis perlulah menyampaikan perkara-perkara yang baik kepada pembaca. Jika pembaca yang membaca tiba-tiba berubah menjadi baik, sudah pastilah penulis akan mendapat pahala atas buku yang ditulis.  Ini adalah simpanan dan saham buat penulis di akhirat nanti.

3. Kita hendak berjaya di dunia dan pada masa yang sama nak masuk syurga.

4. Grup Buku Karangkraf  adalah satu2nya syarikat swasta yang mempunyai surau di dalam kawasan mereka dan diiktiraf untuk boleh mendirikan solat Jumaat di situ.

5. Perniagaan mereka adalah berlandaskan syariah.....mereka telus dalam setiap urusan perniagaan antara syarikat dan penulis. Royalti penulis dibayar 4 kali setahun.

6. Mereka berusaha keras untuk mempromosikan buku penulis2 mereka.

7. Grup Buku Karangkraf  telah melangkah ke hadapan lagi dengan menerbitkan Al-Quran dan terjemahan2 Al-Quran.

8. Mereka tidak berat sebelah dan cuba bersikap seadil mungkin kepada setiap penulis mereka di Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari.


Setakat ni, perkara2 di atas adalah yang saya dapat ingat semula hasil pertemuan penulis2 yang lepas. Doa saya semoga ALLAH (s.w.t) memberkati usaha murni pihak penerbit. Saya juga berdoa semoga ALLAH (s.w.t) menerima usaha saya untuk menyampaikan kebaikan melalui penulisan.  Hanya ini sahaja yang dapat saya sumbangkan sebagai bekalan saya di akhirat nanti.





Puan Sri Diah - orang kuat Alaf 21

Tuan Haji Hussamuddin- CEO 







Manuskrip Baru...

Assalamualaikum semua....

Salam 1 Malaysia. Apa khabar? Anda sihat?....Hehehhe.....ini adalah ayat yang selalu anak saya ucapkan bila balik dari sekolah. Agaknya ini adalah ucapan-ucapan yang cikgu-cikgu kat sekolah selalu ucapkan jugak kot. Tapi sweet kan......benda yang baik eloklah kita kongsi2 kan...kan kan.

Okeylah. Entry kali ni saya nak share pasal manuskrip baru saya. Kalau anda ada baca posting saya sebelum ni, saya ada bagitahu yang manukrip saya yang terbaru dah siapkan. Saya pun dah pos kan ke Alaf dah pun. So...saya nak kongsi sikit2 la pasal cerita baru saya ni. Sinopsis dia lebih kurang macam ni ya:

Amira Saira yang baru balik dari oversea sebab ikut ayah dia yang sambung belajar menjadi pelajar baru di sekolah yang sama dengan Faizal.  Faizal ni hero nakal kat sekolah tu. Boleh kata satu sekolah kenal dia la. So sebagai pelajar baru memang wajiblah Amira kena buli dengan Faizal. Tapi Amira ni lain dari yang lain. Dia juga pantang dicabar. So banyak lah kisah2 yang berlaku antara diorang kat sekolah. Kisah cabar mencabar kat sekolah antara mereka akhirnya telah menyebabkan kedua2 mereka terpaksa bertukar ke sekolah lain. Mereka berpisah dengan perasaan dendam dan sakit hati yang mendalam. 

Selepas tamat sekolah dan masing2 bekerja, mereka berdua ditakdirkan bertemu semula dan bekerja di balai polis yang sama. Kali ini Faizal bukanlah lelaki kurus kering yang selalu diejek Amira semasa di sekolah dulu dan Amira Saira juga bukanlah lagi gadis montel yang suka dibuli oleh Faizal dulu. Faizal kini adalah pegawai atasannya dan Amira terpaksa patuh kepada setiap arahan yang Faizal keluarkan. Tetapi apa yang masih tidak berubah adalah rasa dendam dan sakit hati antara mereka sehingga menyebabkan kisah2 semasa sekolah dulu sering menjadi ungkitan mereka......

So...apakah kisah yang sebenarnya berlaku antara mereka di sekolah sehingga menyebabkan mereka terpaksa bertukar sekolah? Apakah sebenarnya yang berlaku kepada Faizal sehingga dia bertindak nakal dan mengusik semua pelajar di sekolah itu? Siapakah Rina di hati Faizal dan siapakah pula Syamil di hati Amira. Adakah mereka akan terus berperang dan mempertahankan keegoan masing2 untuk menunjukkan bahawa mereka lebih hebat antara satu sama lain? Atau adakah keegoaan itu akan runtuh dan menyatukan hati mereka?


Kalau nak tahu kisah selanjutnya, kena tunggulah pihak Alaf  21 luluskan manuskrip saya ni. Tajuk yang saya pilih untuk cerita ni adalah "Akukah Yang Ego".  

Nanti saya akan sharekan beberapa bab manuskrip tu untuk tatapan semua ya. 

Doa saya semoga usaha saya ni akan berhasil.....sila beri sokongan anda ya. Terima kasih....