Tuesday, January 2, 2018

RANDOM TEASER "LELAKI BUAT ELLYSSA"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Cik Ellyssa nak pergi mana?” tanya Azrul apabila gadis itu mula melangkah.
“Saya nak masuk bilik,” jawab Ellyssa tanpa menoleh.
“Cik Ellyssa…,” Azrul memanggil lagi. Kali ini gadis itu memberhentikan langkahnya kemudian berpaling mengadap Azrul.
“Kenapa? Awak nak ikut saya sampai ke bilik ke?” Sengaja Ellyssa ingin melepaskan sakit hatinya dengan menyindir begitu.
“Tak lah sampai begitu sekali. Cuma… kalau Cik Ellyssa masih ingin berada di sini, saya nak minta izin Cik Ellyssa untuk ikut bersama supaya saya dapat memantau keselamatan Cik Ellyssa,” jelas Azrul. Gadis itu tidak menjawab. Tunduk seketika seperti memikirkan sesuatu.
“Nanti saya call awak.” Itu sahaja jawapan Ellyssa. Dia meninggalkan Azrul yang terpinga-pinga kurang faham dengan maksud kata-kata itu.
“Apa la susah sangat nak bagi jawapan. Jawab ya atau tidak aje kan senang. Ni tergantung macam tu. Confuse aku,” bebel Azrul. Namun gadis itu terus meninggalkannya tanpa menoleh lagi.

Monday, January 1, 2018

TEASER "LELAKI BUAT ELLYSSA"




#LELAKIBUATELLYSSA
#RANDOMTEASER
#PREORDER


“Errr… daddy, rumah Ell dah hampir siap. Hampir 80 peratus dah. Kalau dah siap semuanya, Ell ingat nak pindah. Nak berdikari.” Kali ini topik perbualan telah bertukar. Ellyssa memandang kejap wajah Datuk Aziz. Ada riak terkejut di wajah bapanya.
“Kenapa nak pindah? Rumah ni pun dah cukup besar untuk Ell tinggal. Mommy dan daddy pun bukannya ada anak lain. Tinggal saja di sini. Kalau Ell nak jugak duduk rumah tu, tunggulah sampai Ell dah kahwin nanti. Tak adalah daddy dan mommy risau Ell duduk seorang diri di sana nanti,” jawab Datuk Aziz perlahan lebih kepada memujuk.
“Bukan apa daddy, sayanglah kalau rumah dah siap tapi dibiarkan kosong. Lagi sayang kalau disewakan pada orang lain. Jadi lebih baik Ell duduk saja kat sana. Bukannya jauh pun dari rumah daddy kan. Kalau Ell nak balik sini hari-hari pun tak ada masalah,” jawab Ellyssa dengan wajah kelat apabila mendengar keputusan bapanya tadi.
“Nantilah kita bincang perkara ni. Lagipun ada dalam dua tiga bulan lagi kan sebelum rumah tu boleh diduduki sepenuhnya. Sekarang ni daddy penat sangat. Daddy nak naik solat Isyak kemudian nak tidur,” ujar Datuk Aziz perlahan. Suaranya kedengaran garau disebabkan batuk yang menyerangnya beberapa hari sebelum balik ke Malaysia.
Datuk Aziz mencapai semula kupiah putih atas di meja kopi kemudian melangkah menuju ke tangga. Sebelum tapak kakinya mencium anak tangga yang pertama, Datuk Aziz menoleh ke belakang ke arah Ellyssa yang sedang menukar siaran televisyen.
“Ell…,” panggil Datuk Aziz. Panggilan itu walaupun perlahan tetapi masih jelas ditangkap oleh gegendang telinga Ellyssa.
Ellyssa segera menoleh. “ ya daddy?”
“Sebelum tidur jangan lupa solat Isyak ya dan jangan lupa doakan mommy dan daddy supaya sihat,” pesan Datuk Aziz sebelum dia meneruskan langkahnya ke atas.

Ellyssa pula ternganga apabila mendengar kata-kata bapanya. Pelik! Itulah perkataan yang muncul di fikirannya. Kenapa daddy ni?...bisik hati Ellyssa. Solat Isyak? Berdoa? Seumur hidupnya inilah pesanan paling pelik yang pernah diutarakan oleh daddy. Selama ini tidak pernah pun daddy bercakap mengenai solat kepadanya. 

KOMPILASI NOVEL "NUANSA CINTA"



Assalamualaikum, selamat malam semua yang sudi follow grup Aini Marisha ni. Malam ni baru boleh nak curi masa untuk buka laptop di rumah dan update apa yang patut kat sini. Hari ni saya nak share bab awal mini novel Nina P.I yang terkandung dalam novel Kompilasi Nuansa Cinta. Novel ni adalah hasil kerjasama 4 penulis (Hasreeyati RamliWawa AkilIsma Adeliya dan saya) yang menulis 4 kisah yang berlainan dan ber-genrekan cinta sweet mweet. InsyaAllah.... 😍😍 novel ini akan dapat menepati citarasa pembaca. Jom kita baca petikan Bab 1 ya...


Bab 1

Nina menghempaskan sampul surat bersaiz A4 ke atas meja bersama perasaan marah yang menggunung. Cik Noni yang sedang menaip sesuatu di komputer terkejut bukan kepalang sehingga hampir terlompat dari kerusinya. Dia terus memanjangkan batang lehernya, cuba menjenguk apa yang telah berlaku. Kerusi berodanya ditolak ke belakang perlahan-lahan, cuba mengintai dari pintu bilik majikannya yang memang sentiasa terbuka itu.
“Ha!!! Apa tengok-tengok! Buat saja kerja tu!” Nina merengus kasar ke arah keraninya yang memang suka menyibuk hal orang. Wartawan tak bertauliah, gelaran Nina padanya. Kalau dapat bergossip memang cukup suka. Pantang berbunyi pelik saja di pejabat, pasti cerita yang sekecil pasir akan jadi sebesar bola. 

Secepat kilat Cik Noni terus menghadap semula ke arah komputer. Kecut juga perutnya apabila bossnya, anak dara terlajak umur itu menyinga. Pasti ada masalah dengan client tu, teka Cik Noni. 

“Kalau kau dah tahu mulutnya kecoh mengalahkan mulut burung murai, kenapa kau tak pecat aje dia.” Itu yang dikatakan oleh Atie apabila Nina merungut tentang sikap Cik Noni yang satu ini.

“Kau ingat senang ke nak cari pekerja yang berpengalaman macam dia? Masalah dia mulut tu aje. Tapi kerja tip top. Aku bagi kerja apa pun, semuanya siap on time. Lagipun aku tak boleh nafikan dia tu memang rajin. Aku pun memang perlukan pekerja berpengalaman macam dia sebab aku pun baru lagi dalam bidang ni. Banyak yang aku tak tahu,” jawab Nina. Dia kemudian menongkat dagu dan termenung seketika. 

“Cuma aku warning je lah dia hari tu. Aku cakap, nak kepoh-kepoh pasal cerita personal lantaklah, asalkan hal pejabat, hal pelanggan jangan sesekali di bawa keluar. Kau tahu lah kerja aku kan. Aku ni private investigator. Segala masalah client adalah private and confidential. Kalau aku tak jaga, silap-silap aku yang kena saman fitnah. Kalau kes saman fitnah, saman malu ni bukan sikit-sikit diorang mintak untuk gantirugi. Mana aku nak cekau duit nanti.” Nina merengus lagi. 

“Kalau macam tu kau kena lah banyakkan sabar ya. Dalam hidup kita ni bukan semua benda yang kita nak, yang kita rancang akan berjaya kita perolehi. Jadi kalau dapat yang lebih kurang tu kita terima saja lah dan pelan-pelan kita cuba pulihkan atau perbetulkan. Lagipun kita ni manusia biasa jugak. Banyak yang kurang, tak sempurna mana pun.”

Kata-kata Atie tidak dijawab oleh Nina kerana tidak ada apa yang hendak disanggah. Sebab itu lah juga dia tetap sabar dengan Cik Noni kerana wanita itu mempunyai pengalaman yang luas dalam kerjanya. Sebagai seorang pemilik syarikat yang baru, Nina memang perlukan sesorang yang jauh lebih berpengalaman darinya untuk memudahkan urusan harian pejabat. Dia perlukan pekerja yang boleh bergerak sendiri dan tidak terlalu bergantung kepadanya.

“Ya, betul lah apa yang kau cakap tu. Sebab tu lah aku bertahan dengan dia. Aku harap dia pun akan dapat bertahan dengan aku. Bukan aku saja-saja nak marah dia tak bertempat. Sebagai sebuah syarikat baru aku kena jaga reputasi syarikat aku ni.”

Atie mengangguk. Memang dia faham sangat perasaan Nina sekarang. Nina berhadapan dengan dugaan hidup yang mencabar sebelum dia akhirnya sedar apa yang sebenarnya dia minat dan ingin lakukan dalam hidupnya.

“Aku tak boleh lah kerja makan gaji ni Atie. Aku tak suka orang arahkan aku buat itu ini sesuka hati diorang aje, konon budak baru…, nak kena belajar banyak benda. Alasan basi. Sedangkan sebenarnya diorang tu yang nak curi tulang, nak kerja senang. Ingat aku ni kuli diorang ke. Isshhh…mak bapak aku keluarkan duit bukannya sikit tau nak bagi aku habis belajar sampai masuk U. Ni senang-senang je diorang nak perlekehkan pasal kemampuan aku nak buat kerja.” 

Memang itulah bebelan yang sering Atie dengar dari mulut Nina sejak dia mula mencari kerja selepas berjaya menamatkan pengajian Diploma Perundangan dan kemudiannya Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam.

“Habis tu kau ni sebenarnya nak buat apa Nina? Aku pun pening la dengan kau. Masuk ni dah lima kali kau berhenti kerja tau tak? Aku pun dah tak tahu la sama ada kau yang bermasalah atau boss kau yang bermasalah. Kalau setakat berhenti kerja di satu tempat je normal lah kot. Tapi kalau dalam masa satu tahun sampai lima tempat, aku rasa there is something wrong with you la beb.” 

Atie tanpa berlapik-lapik terus meluahkan pendapatnya. Terbeliak biji mata Nina mendengar kata-kata Atie. Atie tidak peduli. Dia tahu marah Nina padanya bagai mencurah air sejuk ke atas dapur panas sahaja. Berasap-asap pada peringkat awal sahaja tetapi kemudian pasti akan sejuk. Berani lah minah itu hendak panjang-panjangkan sebab hanya Atie sahaja yang boleh tahan dengan perangai peliknya selama ini.

“Aku memang tak boleh lah Atie kalau semua benda yang bukan bawah senarai tugas aku pun diorang nak suruh aku buat. Yang aku bengkek lagi ialah…, orang yang sepatutnya buat kerja tu tak ada lah pulak dia nak suruh. Mentang-mentanglah aku junior, dia ingat senang-senang aje nak buli aku ya. Piiraahhh. Tengok lah dengan siapa diorang nak perlekeh.” 

Berapi-rapi lagi Nina meluahkan ketidakpuashatiannya. Atie hanya mampu menggeleng kepala. Tidak tahu apa lagi nasihat yang patut diberikannya kepada Nina. Sudah habis segala kata-kata motivasi dibahaskan kepada sahabatnya itu tetapi ia ibarat mencurah air ke daun keladi. Mengalir terus tanpa diserap langsung ke dalam fikirannya. 

“Lantak kau lah Nina. Aku pun buntu nak nasihat apa lagi. Sekarang ni aku rasa baik kau buat Solat Istikharah, mintak petunjuk dari Allah s.w.t apakah jalan terbaik yang patut kau ambik untuk masa depan kau. Ya lah…, kalau kau dah tak boleh nak kerja bawah orang, tak boleh kena suruh itu ini, mungkin kau kena bukak syarikat sendiri. Jadi boss.” Akhirnya kata-kata itu yang terluah dari mulut Atie.

Dan dari ayat yang keluar dari mulut Atie itulah, akhirnya tertubuhlah syarikat “Nina Private Investigations” atau singkatannya Nina PI. Selain dari menawarkan perkhidmatan sebagai Penyiasat Persendirian, Nina juga menawarkan khidmat nasihat guaman berbekalkan pengetahuannya di dalam pengajian Undang-Undang di UiTM dulu. Selepas mendaftarkan nama syarikat di SSM, dia memohon pula lesen di bawah Seksyen 2(b) di bawah Akta Ejensi Persendirian 1971 seperti yang dikehendaki oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.

LELAKI BUAT ELLYSSA - NOVEL BARU



LELAKI BUAT ELLYSSA
Rashdan hampir menahan teksi apabila tiba-tiba sebuah kereta Kancil berhenti di hadapannya. Seorang gadis manis tersenyum lebar kepadanya dan terus menjemputnya naik.
“Adik dah beli kereta ke?” tanya Rashdan. Dia teruja melihat kereta yang telah dibeli oleh adiknya itu.
“Kereta second hand je abang. Senang nak bawak mak pergi hospital,” jawab gadis manis itu. Rashdan mengangguk. Mendengar nama emak membuatkan dia terdiam seketika.
“Kita balik kampung ya bang. Mak mesti rindukan abang,” ujar gadis itu. Rashdan hanya mendiamkan diri.
“Abang ada kerja di sini. Dah selesai baru abang balik. Nanti adik kirim salam aje pada mak. Lagipun…mana adik tahu mak rindukan abang? Bukankah mak yang halau abang dulu. Adik dah lupa?” ujar Rashdan dengan wajah serius.
‘Abang…, dah lama sangat hal tu. Lagipun…, masa tu abang jugak yang salah kan. Ayah pun dah meninggal. Mak pun dah uzur. Baliklah abang. Walaupun mak tak cakap tapi adik tahu dia rindu dan sayangkan abang,” pujuk gadis itu lagi.
“Biar abang selesaikan kerja abang dulu.” Rashdan masih tegas dengan keputusannya.
“Adik dah dapatkan semua maklumat yang abang suruh cari tu?” Tanya Rashdan selepas mereka mendiamkan diri seketika.
Gadis itu mengangguk.
“Bagus…,” ujar Rashdan. Tangannya menepuk peha adiknya itu beberapa kali.
‘Apa yang abang nak buat lagi ni. Abang baru aje keluar dari penjara. Abang janganlah buat perkara-perkara yang salah lagi ya,” pujuk adiknya lagi.
“Abang tahu lah apa yang abang nak buat. Adik jangan risau dan jangan bagi mak risau pasal abang,” jawab Rashdan.
Gadis muda itu mengangguk lemah. Dalam hati dia masih bimbang akan rancangan yang akan diambil oleh abangnya. Dia juga serba salah untuk memaklumkan berita mengenai abang kepada emak mereka di kampung. Nampaknya apa yang diharapkannya tidak menjadi kenyataan. Abang yang telah dihukum penjara selama 3 tahun nampaknya masih tidak menunjukkan perubahan yang diharapkan oleh mereka sekeluarga. Masalahnya sekarang, dia bimbang kerana dia juga turut dipaksa untuk membantu abangnya.
“Hantarkan abang ke alamat ni.” Tiba-tiba Rashdan menghulurkan keratan kecil kertas yang bertulis alamat seseorang.
“Rumah siapa ni bang?” tanya gadis itu. Semasa kereta berhenti di lampu isyarat, gadis itu cuba membaca alamat yang diberikan.
“Adik tak perlu tahu. Adik hantarkan aje abang ke situ dan adik terus balik rumah,” jawab Rashdan dengan nada serius...

* Rashdan ingin membalas dendam....tetapi kepada siapa dan kenapa? Ingin tahu kisah selanjutnya? Jika nak, terus menyokong novel ini ya...jika ada banyak sambutan, insyaAllah ia akan diterbitkan. Terima kasih....😍😍

PRE ORDER DIBUKA SEKARANG UNTUK NOVEL "LELAKI BUAT ELLYSSA"





Assalamualaikum....sempena tahun baru 2018 saya mempersembahkan novel terbaru saya. Tempahan secara pre order dibuka sekarang dengan harga mampu milik. Tambahan lagi, di sepanjang tempoh pre order ini saya tawarkan harga pos laju separuh sahaja iaitu rm4. Setengah lagi bayaran pos saya tanggung. 

Tajuk novel: Lelaki buat Ellyssa

Harga: RM29.00
Pos RM4.00 (hanya dalam tempoh pre order sahaja)
Bil. m/s : 470 
Genre: Umum...cinta, islamik, keinsafan, dendam



Sinopsis: 

Ellyssa dan Azrul tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Mereka berdua mempunyai impian dan perancangan sendiri dalam kehidupan mereka. Kedua-duanya mempunyai harapan untuk hidup bahagia bersama orang yang mereka cintai. Namun Allah s.w.t mempunyai perancangan yang lain buat mereka.....dan dua orang asing ini telah ditakdirkan untuk bertemu....

Intro kepada watak...

Bagi Azrul, di saat dia kenal erti rindu dan cinta, Natrahlah gadis yang menjadi impiannya. Natrah, seorang gadis yang ingin dijadikan suri hatinya dan peneman sepanjang kehidupannya. Hasratnya dipermudahkan dan kini Natrah menjadi tunangannya.

Remy, seorang lelaki yang sangat dicintai oleh Ellyssa. Sikap romantis Remy membuatkan Ellyssa yakin dia adalah pilihan suami paling tepat buat dirinya. Oleh itu lamaran Remy diterima tanpa rasa ragu.

Danny, menyimpan dendam yang mendalam terhadap Ellyssa. Kerana keterangan Ellyssa di mahkamah, dia merengkok di dalam penjara. Setiap hari dia melalui hari hari di dalam penjara dengan kebencian yang semakin menggunung. Oleh itu apabila tamat sahaja tempoh hukuman segala rancangannya mula dilaksanakan....

Apakah akan terjadi apabila kesemua mereka ditemukan?
#lelakibuatellyssa
#novelbakalterbit
#ainimarisha



*Untuk lebih info berkenaan novel ini, boleh lihat di facebook aini marisha.


Monday, December 25, 2017


Assalam semua, 

Sempena kedatangan tahun baru 2018 ini, saya buat potongan harga untuk pembelian kombo novel #Selingkuh dan #Harapan. Hanya RM50 untuk pembelian 2 novel ini dan harga ini termasuk kos pos. Potongan harga yang sangat berbaloi memandangkan jika membeli harga berasingan dengan harga biasa, harga Selingkuh adalah RM23 dan harga novel Harapan adalah RM35. Di bawah ini saya kongsikan random teaser untuk kedua-dua novel ini. Untuk teaser yang lain, boleh juga dilihat di facebook dan grup fb Aini Marisha.


Novel Selingkuh.

Apabila Hazlan masuk ke bilik air, aku memasukkan pakaian yang dipakai Hazlan ke dalam raga pakaian. Telefon bimbit dan dompet Hazlan ku letakkan di atas meja. Baru sahaja aku hendak melangkah ke katil, telefon bimbit Hazlan bergetar. Aku pelik. Kenapa pula Hazlan meletakkan telefon bimbitnya dalam mode “Vibrate”. 
“Patut lah tak dengar panggilan yang masuk.” Aku meneka-neka lagi.
“Mungkin sebab ada mesyuarat di pejabat tadi agaknya…”
Aku membiarkan sahaja telefon itu bergetar. Tetapi apabila berkali-kali panggilan masuk, aku bangun dari katil. Aku mengambil telefon untuk melihat nama pemanggilnya tetapi panggilan telah berhenti.
“Siapa pulak call tengah-tengah malam ni. Tak boleh tunggu esok ke? Selalunya kalau call malam-malam ni tentu ada urgent matter…” Hatiku bersoal jawab.
Panggilan tadi membuatkan aku pula yang bimbang. Hazlan pula masih lagi di dalam bilik air. Aku cuba melihat panggilan yang masuk tadi tetapi gagal. Hazlan telah menukar screen lock di telefon bimbitnya. Aku semakin pelik kerana sebelum ini aku boleh membuka telefon bimbit Hazlan dan melihat segala panggilan masuk serta pesanan yang diterima oleh Hazlan. Tetapi kenapa kali ini dia mengunci telefon bimbitnya dan menukar kata kuncinya? 
Aku cepat-cepat meletakkan telefon bimbit Hazlan apabila aku terdengar bunyi seperti Hazlan akan keluar dari bilik mandi. Aku bergegas naik ke atas katil dan berpura-pura membaca novel yang memang sedia ada di tepi katil. Apabila Hazlan membuka pintu bilik air, aku tersenyum ke arahnya.
Hazlan terus menuju ke almari pakaian sambil mengelap kepalanya yang basah dengan tuala kecil.
“Err….abang. Tadi ada call masuk.” Aku memberitahu apabila Hazlan sedang mengambil bajunya. Hazlan seperti terkejut apabila mendengar kata-kataku kerana aku nampak bahunya tersentak. Aku mengamati lagi reaksi Hazlan. 
“Ya ke…? Siapa call? Sayang tak tolong jawab kan ke?” Hazlan menoleh ke arahku. 
“Tak sempat nak jawab. Call dah berhenti. Tak dapat nak tengok caller sebab telefon abang lock.”
“Biar je lah. Kalau penting sangat, sikit lagi dia call la semula. Kalau tak…esok pun boleh cakap. Sekarang ni abang nak layan permaisuri abang ni. Yang lain-lain boleh tolak tepi. Telefon ni memang abang tukar lock baru-baru ni sebab dalam ni kan ada macam-macam maklumat pasal syarikat. Bahaya kalau orang dapat baca.” 
Hazlan mengambil telefon bimbitnya kemudian memeriksa panggilan yang masuk. Tanpa melihat pun, Hazlan tahu pasti panggilan itu dari Farisya. Tetapi Hazlan tidak bimbang kerana sebelum masuk ke rumah tadi dia telah menukar nama Farisya kepada Fahmi bagi mengaburi mata Rania. Cuma silapnya, dia terlupa untuk “block” kan nombor telefon bimbit Farisya. 
“Siapa yang call tadi abang?” aku masih ingin tahu.
“Ni haa.., Fahmi.” Hazlan terus menunjukkan nama pemanggil. Aku mengangguk melihatnya. Nama Fahmi terpapar di skrin.
“Siapa Fahmi ni?” tanyaku lagi.
“Staff kat pejabat. Anak dia main telefon la kot. Memang sebelum ni pun ada jadi macam ni. Tu la orang sekarang. Anak-anak masa kecik lagi dah diajar umpan dengan telefon bimbit. Macam ni lah jadinya.”
Dengan membelakangkan Rania, Hazlan terus “Off” kan telefon bimbitnya agar tiada apa-apa lagi panggilan atau pesanan yang masuk. 
Aku lega mendengar jawapan Hazlan. Ternyata Hazlan tidak teragak-agak memberikan jawapan dan aku yakin Hazlan bersikap jujur.


Novel Harapan

Pekerja wanita itu menghulurkan tangannya untuk mengambil Aryyan tetapi Aryyan terus memalingkan mukanya dan semakin kuat memeluk Rania. Rania semakin serba salah. Dia semakin berat hati untuk melepaskan Aryyan. 
“Mari sayang. Kita pergi main ya.” Pekerja itu cuba memujuk Aryyan lagi dan perlahan-lahan cuba menarik tubuh kecil itu. Aryyan yang seolah-olah faham apa yang bakal berlaku mula menangis.
Rania memejamkan mata, cuba menguatkan semangatnya. Dia tahu dia perlu juga menyerahkan Aryyan walaupun perasaannya enggan membenarkan.
“Aryyan sayang, jangan macam ni. Aryyan buat mommy lagi sedih. Kakak ni nak bawak Aryyan pergi tempat best. Aryyan duduk sana dulu ya. Nanti mommy akan datang tengok Aryyan.”
Selepas berkata begitu, Rania terus menyerahkan Aryyan kepada pekerja tersebut dan dia terus melangkah pergi tanpa menoleh lagi. Tangisan Aryyan yang semakin kuat membuatkan langkah Rania semakin lemah dan perlahan tetapi dengan satu tarikan nafas, dia melajukan langkahnya semula sehingga akhirnya dia berjaya juga keluar dari bangunan itu. Rania terus berlari ke arah tepi bangunan di kawasan yang lebih tersorok kemudian menangis semahu-mahunya. Dia memang tidak mampu, tidak mampu hendak berhadapan dengan saat perpisahan begini.
Rania tersentak apabila tiba-tiba bahunya dipegang dari belakang. Dia yang sedang dalam keadaan yang sangat sedih terus berpaling dan menyembamkan kepalanya ke tubuh yang sedang berdiri di hadapannya.
“Damia.., mommy tak sanggup. Mommy tak mampu kehilangan orang yang mommy sayang. Mommy tak kuat Damia, mommy tak kuat untuk menghadapi saat-saat macam ni lagi.”
“Rania…,” 
Rania terus terpempan apabila mendengar namanya dipanggil. Tangisannya serta merta berhenti. Dia terus mendongak dan sangat terkejut. Tubuh yang disangkanya Damia sebenarnya adalah Taufiq Hidayat. Rania terus menjauhkan dirinya dari tubuh lelaki itu. Dia terus berpaling dan membelakangkan Taufiq Hidayat. Kerana terlalu malu, Rania terus melangkah pergi dari situ, meninggalkan Taufiq Hidayat tanpa kata.
Taufiq Hidayat masih juga berdiri di situ. Dia juga sangat terkejut dengan tindakan Rania tadi. Tetapi apabila mendengar rintihan Rania tadi, dia sedar Rania telah tersilap orang. Dia tidak menolak tubuh Rania bukan kerana dia hendak mengambil kesempatan tetapi dia tidak sampai hati melihat keadaan Rania begitu. Semasa Rania memeluknya tadi, Taufiq Hidayat hanya tegak berdiri membiarkan Rania meluahkan perasaannya dan dia langsung tidak membalas pelukan Rania.
Di dalam kereta, Rania dan Taufiq Hidayat langsung tidak bercakap. Rania hanya merenung ke luar tingkap. Damia juga melayan perasaan sedihnya di tempat duduk belakang. Suasana sangat sunyi, hanya lagu-lagu dari radio yang dipasang sahaja menjadi santapan telinga mereka. Tetapi apabila kereta Taufiq Hidayat berhenti di depan rumahnya, Rania tidak ada alasan untuk tidak bersuara lagi......




E-BOOK NOVEL SELINGKUH

Assalam semua

di zaman teknologi sekarang ini, cara orang muda sekarang dan juga orang lama membaca mungkin banyak perbezaan, Kalau orang-orang yang lebih berusia mungkin lebih suka membaca dengan memegang buku yang sebenar, berbanding dengan cara orang muda sekarang yang tidak kisah jika membaca secara di atas talian.

Oleh itu wujud lah penjualan buku secara e-book. Kenapa e-book menjadi pilihan? Antara sebabnya mungkin:
1. Harga lebih murah (kos mencetak buku mahal, oleh itu penjual perlu letakkan harga yang tinggi)
2. Mudah untuk disimpan/menjimatkan ruang.
3. Mudah dibaca di mana-mana - dalam telefon/laptop
4. Selamat - tidak mudah hilang.

Oleh itu saya nak maklumkan yang novel Selingkuh juga boleh dibaca secara e-book di E-Sentral.com Boleh klik di perkataan E-Sentral.Com tadi untuk cara-cara pembelian. Hanya RM14 sahaja jika dibeli secara e-book.