E BOOK IRFAN KHAIRI

7.0 Is Here!
iDevAffiliate 7
Price: $99.99 USD



more information

Monday, December 25, 2017


Assalam semua, 

Sempena kedatangan tahun baru 2018 ini, saya buat potongan harga untuk pembelian kombo novel #Selingkuh dan #Harapan. Hanya RM50 untuk pembelian 2 novel ini dan harga ini termasuk kos pos. Potongan harga yang sangat berbaloi memandangkan jika membeli harga berasingan dengan harga biasa, harga Selingkuh adalah RM23 dan harga novel Harapan adalah RM35. Di bawah ini saya kongsikan random teaser untuk kedua-dua novel ini. Untuk teaser yang lain, boleh juga dilihat di facebook dan grup fb Aini Marisha.


Novel Selingkuh.

Apabila Hazlan masuk ke bilik air, aku memasukkan pakaian yang dipakai Hazlan ke dalam raga pakaian. Telefon bimbit dan dompet Hazlan ku letakkan di atas meja. Baru sahaja aku hendak melangkah ke katil, telefon bimbit Hazlan bergetar. Aku pelik. Kenapa pula Hazlan meletakkan telefon bimbitnya dalam mode “Vibrate”. 
“Patut lah tak dengar panggilan yang masuk.” Aku meneka-neka lagi.
“Mungkin sebab ada mesyuarat di pejabat tadi agaknya…”
Aku membiarkan sahaja telefon itu bergetar. Tetapi apabila berkali-kali panggilan masuk, aku bangun dari katil. Aku mengambil telefon untuk melihat nama pemanggilnya tetapi panggilan telah berhenti.
“Siapa pulak call tengah-tengah malam ni. Tak boleh tunggu esok ke? Selalunya kalau call malam-malam ni tentu ada urgent matter…” Hatiku bersoal jawab.
Panggilan tadi membuatkan aku pula yang bimbang. Hazlan pula masih lagi di dalam bilik air. Aku cuba melihat panggilan yang masuk tadi tetapi gagal. Hazlan telah menukar screen lock di telefon bimbitnya. Aku semakin pelik kerana sebelum ini aku boleh membuka telefon bimbit Hazlan dan melihat segala panggilan masuk serta pesanan yang diterima oleh Hazlan. Tetapi kenapa kali ini dia mengunci telefon bimbitnya dan menukar kata kuncinya? 
Aku cepat-cepat meletakkan telefon bimbit Hazlan apabila aku terdengar bunyi seperti Hazlan akan keluar dari bilik mandi. Aku bergegas naik ke atas katil dan berpura-pura membaca novel yang memang sedia ada di tepi katil. Apabila Hazlan membuka pintu bilik air, aku tersenyum ke arahnya.
Hazlan terus menuju ke almari pakaian sambil mengelap kepalanya yang basah dengan tuala kecil.
“Err….abang. Tadi ada call masuk.” Aku memberitahu apabila Hazlan sedang mengambil bajunya. Hazlan seperti terkejut apabila mendengar kata-kataku kerana aku nampak bahunya tersentak. Aku mengamati lagi reaksi Hazlan. 
“Ya ke…? Siapa call? Sayang tak tolong jawab kan ke?” Hazlan menoleh ke arahku. 
“Tak sempat nak jawab. Call dah berhenti. Tak dapat nak tengok caller sebab telefon abang lock.”
“Biar je lah. Kalau penting sangat, sikit lagi dia call la semula. Kalau tak…esok pun boleh cakap. Sekarang ni abang nak layan permaisuri abang ni. Yang lain-lain boleh tolak tepi. Telefon ni memang abang tukar lock baru-baru ni sebab dalam ni kan ada macam-macam maklumat pasal syarikat. Bahaya kalau orang dapat baca.” 
Hazlan mengambil telefon bimbitnya kemudian memeriksa panggilan yang masuk. Tanpa melihat pun, Hazlan tahu pasti panggilan itu dari Farisya. Tetapi Hazlan tidak bimbang kerana sebelum masuk ke rumah tadi dia telah menukar nama Farisya kepada Fahmi bagi mengaburi mata Rania. Cuma silapnya, dia terlupa untuk “block” kan nombor telefon bimbit Farisya. 
“Siapa yang call tadi abang?” aku masih ingin tahu.
“Ni haa.., Fahmi.” Hazlan terus menunjukkan nama pemanggil. Aku mengangguk melihatnya. Nama Fahmi terpapar di skrin.
“Siapa Fahmi ni?” tanyaku lagi.
“Staff kat pejabat. Anak dia main telefon la kot. Memang sebelum ni pun ada jadi macam ni. Tu la orang sekarang. Anak-anak masa kecik lagi dah diajar umpan dengan telefon bimbit. Macam ni lah jadinya.”
Dengan membelakangkan Rania, Hazlan terus “Off” kan telefon bimbitnya agar tiada apa-apa lagi panggilan atau pesanan yang masuk. 
Aku lega mendengar jawapan Hazlan. Ternyata Hazlan tidak teragak-agak memberikan jawapan dan aku yakin Hazlan bersikap jujur.


Novel Harapan

Pekerja wanita itu menghulurkan tangannya untuk mengambil Aryyan tetapi Aryyan terus memalingkan mukanya dan semakin kuat memeluk Rania. Rania semakin serba salah. Dia semakin berat hati untuk melepaskan Aryyan. 
“Mari sayang. Kita pergi main ya.” Pekerja itu cuba memujuk Aryyan lagi dan perlahan-lahan cuba menarik tubuh kecil itu. Aryyan yang seolah-olah faham apa yang bakal berlaku mula menangis.
Rania memejamkan mata, cuba menguatkan semangatnya. Dia tahu dia perlu juga menyerahkan Aryyan walaupun perasaannya enggan membenarkan.
“Aryyan sayang, jangan macam ni. Aryyan buat mommy lagi sedih. Kakak ni nak bawak Aryyan pergi tempat best. Aryyan duduk sana dulu ya. Nanti mommy akan datang tengok Aryyan.”
Selepas berkata begitu, Rania terus menyerahkan Aryyan kepada pekerja tersebut dan dia terus melangkah pergi tanpa menoleh lagi. Tangisan Aryyan yang semakin kuat membuatkan langkah Rania semakin lemah dan perlahan tetapi dengan satu tarikan nafas, dia melajukan langkahnya semula sehingga akhirnya dia berjaya juga keluar dari bangunan itu. Rania terus berlari ke arah tepi bangunan di kawasan yang lebih tersorok kemudian menangis semahu-mahunya. Dia memang tidak mampu, tidak mampu hendak berhadapan dengan saat perpisahan begini.
Rania tersentak apabila tiba-tiba bahunya dipegang dari belakang. Dia yang sedang dalam keadaan yang sangat sedih terus berpaling dan menyembamkan kepalanya ke tubuh yang sedang berdiri di hadapannya.
“Damia.., mommy tak sanggup. Mommy tak mampu kehilangan orang yang mommy sayang. Mommy tak kuat Damia, mommy tak kuat untuk menghadapi saat-saat macam ni lagi.”
“Rania…,” 
Rania terus terpempan apabila mendengar namanya dipanggil. Tangisannya serta merta berhenti. Dia terus mendongak dan sangat terkejut. Tubuh yang disangkanya Damia sebenarnya adalah Taufiq Hidayat. Rania terus menjauhkan dirinya dari tubuh lelaki itu. Dia terus berpaling dan membelakangkan Taufiq Hidayat. Kerana terlalu malu, Rania terus melangkah pergi dari situ, meninggalkan Taufiq Hidayat tanpa kata.
Taufiq Hidayat masih juga berdiri di situ. Dia juga sangat terkejut dengan tindakan Rania tadi. Tetapi apabila mendengar rintihan Rania tadi, dia sedar Rania telah tersilap orang. Dia tidak menolak tubuh Rania bukan kerana dia hendak mengambil kesempatan tetapi dia tidak sampai hati melihat keadaan Rania begitu. Semasa Rania memeluknya tadi, Taufiq Hidayat hanya tegak berdiri membiarkan Rania meluahkan perasaannya dan dia langsung tidak membalas pelukan Rania.
Di dalam kereta, Rania dan Taufiq Hidayat langsung tidak bercakap. Rania hanya merenung ke luar tingkap. Damia juga melayan perasaan sedihnya di tempat duduk belakang. Suasana sangat sunyi, hanya lagu-lagu dari radio yang dipasang sahaja menjadi santapan telinga mereka. Tetapi apabila kereta Taufiq Hidayat berhenti di depan rumahnya, Rania tidak ada alasan untuk tidak bersuara lagi......




1 comment:

Unknown said...

Salam

Harap novel Harapan juga akan di ebookkan spt novel prequelnya Selingkuh