E BOOK IRFAN KHAIRI

7.0 Is Here!
iDevAffiliate 7
Price: $99.99 USD



more information

Thursday, January 23, 2014

Bab 8 Kan Aku Dah Kata

Assalamualaikum...jemput baca Bab 8 kisah "Kan Aku Dah Kata". Kalau nak baca juga hasil nukilan penulis Karangkraf yang lain boleh pergi ke laman ilham.karangkraf  atau klik sini. Untuk memudahkan, saya letakkan juga di sini bab 8 untuk bacaan semua ya. 

Bab 8
Tiba di rumah, Datin Aini terus meminta diri untuk berehat. Dia berjanji akan meluangkan masa dengan Ellyssa pada keesokan harinya kerana hari ini dia merasa begitu penat. Apabila masuk ke biliknya, Datin Aini terus memanjat naik ke atas katil besar yang telah ditinggalkannya hampir tiga minggu.  Diciumnya bantal lembut yang sangat dirinduinya dengan deraian air mata yang sukar ditahan.
Datuk Aziz yang masih duduk di ruang tamu bersama Ellyssa hanya memandang sayu langkah isterinya sebentar tadi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dia hanya mampu mengeluh panjang. Kupiah putih yang masih tersarung kemas di kepalanya diambil lalu diletakkan di atas meja kopi.
“Kenapa dengan mommy tu daddy? Kenapa mommy macam tak happy je lepas balik dari umrah ni?” tanya Ellyssa semakin hairan. Memang kelakuan mommy kali ini amat berbeza. Selalunya apabila pulang dari bercuti pasti mommy akan kelihatan sangat gembira dan tidak sabar hendak mengeluarkan segala hadiah dan buah tangan yang dibelinya. Tetapi kali ini mommy langsung tidak menghiraukan barang-barang yang telah dibawa masuk ke rumah. Mommy seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri dan begitu berat hendak bercerita dengan sesiapa mengenainya.
“Berikan mommy masa untuk berehat dan bertenang. InsyaAllah bila mommy dah bersedia, pasti dia akan bercerita segala-galanya kepada Ell,” jawab Datuk Aziz dengan pandangan mata yang redup.
Walaupun Ellyssa masih tidak berpuas hati dengan jawapan bapanya namun dia terpaksa memujuk hati untuk bersabar. Ya, mungkin benar mommy terlampau penat. Dengan jet lag lagi ditambah dengan cuaca panas di bumi Mekah dan bonus pula dengan umur mommy yang semakin meningkat mungkin menyebabkan mommy tidak dapat menahan semua dugaan itu.
“Errr… daddy, rumah Ell dah hampir siap. Hampir 80 peratus dah. Kalau dah siap semuanya, Ell ingat nak pindah. Nak berdikari.” Kali ini topik perbualan telah bertukar. Ellyssa memandang kejap wajah Datuk Aziz. Ada riak terkejut di wajah bapanya.
“Kenapa nak pindah? Rumah ni pun dah cukup besar untuk Ell tinggal. Mommy dan daddy pun bukannya ada anak lain. Tinggal saja di sini. Kalau Ell nak jugak duduk rumah tu, tunggulah sampai Ell dah kahwin nanti. Tak adalah daddy dan mommy risau Ell duduk seorang diri di sana nanti,” jawab Datuk Aziz perlahan lebih kepada memujuk.
“Bukan apa daddy, sayanglah kalau rumah dah siap tapi dibiarkan kosong. Lagi sayang kalau disewakan pada orang lain. Jadi lebih baik Ell duduk saja kat sana. Bukannya jauh pun dari rumah daddy kan. Kalau Ell nak balik sini hari-hari pun tak ada masalah,” jawab Ellyssa dengan wajah kelat apabila mendengar keputusan bapanya tadi.
“Nantilah kita bincang perkara ni. Lagipun ada dalam dua tiga bulan lagi kan sebelum rumah tu boleh diduduki sepenuhnya. Sekarang ni daddy penat sangat. Daddy nak naik solat Isyak kemudian nak tidur,” ujar Datuk Aziz perlahan. Suaranya kedengaran agak kasar disebabkan batuk yang menyerangnya beberapa hari sebelum balik ke Malaysia.
Datuk Aziz mencapai semula kupiah putih atas di meja kopi kemudian melangkah menuju ke tangga. Sebelum tapak kakinya mencium anak tangga yang pertama, Datuk Aziz menoleh ke belakang ke arah Ellyssa yang sedang menukar siaran televisyen.
“Ell…,” panggil Datuk Aziz.
Ellyssa menoleh. “ ya daddy?”
“Sebelum tidur jangan lupa solat Isyak ya dan jangan lupa doakan mommy dan daddy supaya sihat,” pesan Datuk Aziz sebelum dia meneruskan langkahnya ke atas.
Ellyssa pula ternganga apabila mendengar kata-kata bapanya. Pelik! Itulah perkataan yang muncul di fikirannya. Kenapa daddy ni?...bisik hati Ellyssa. Solat Isyak? Berdoa? Seumur hidupnya inilah pesanan paling pelik yang pernah diutarakan oleh daddy. Selama ini tidak pernah pun daddy bercakap mengenai solat kepadanya. Hmmm….sekejap aje tu. Lepas  dua tiga minggu nanti baliklah ke perangai asal….getus hati Ellyssa beserta gelengan kepala dan senyuman pendek. Diambilnya semula alat kawalan jauh yang berada di atas meja. Kali ini cariannya berhenti di rancangan drama Cinta Pandang ke-2 yang diadaptasikan dari novel hasil tulisan Laila Kamilia. Sudah hampir separuh ceritanya.
Hmmm...inilah agaknya cerita novel yang ramai orang kata best tu....bisik hati Ellyssa lagi. Memang dia tidak pernah membaca novel-novel berbahasa Melayu sebelum ini kerana keluarganya lebih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris. Mommy juga menunjukkan minatnya kepada cara Barat dengan menghias rumah mereka bertemakan modern English. Manakala di dalam bilik tidur mereka, mommy mahukan tema English cottage iaitu lebih kepada warna-warna pastel dan bercorak bunga mawar.  
Disebabkan faktor ini tidak banyak nama penulis Melayu di Malaysia yang dikenalinya. Tetapi kebelakangan ini ulasan demi ulasan hebat yang dibacanya di facebook tanpa disedari berjaya juga memancing hatinya untuk membeli dua buah novel berbahasa Melayu semasa ke ke kedai buku bulan lepas. Tiba-tiba Ellyssa teringat semula kepada sebuah buku agama yang dipegangnya...."Cintai dirinya kerana ALLAH".  Ada debaran di hatinya setiap kali bayangan buku itu bermain di fikirannya. 
"Ell tak tidur lagi?" Teguran dari makcik Normah betul-betul mengejutkan Ellyssa.  Diurutnya dada yang terasa sesak seketika.
"Maaf Ell. Makcik tak berniat nak buat Ell terkejut. Ell termenungkan apa tadi sampai makcik datang ni pun tak sedar," tanya Normah lagi.
"Tak pe makcik. Ell pun nak naik tidur dah ni. Nanti makcik tutup lampu semua ya," jawab Ellyssa. Banyak termenung, jalan cerita drama tersebut pun tidak dapat dihayati sepenuhnya. DIa menguap beberapa kali. Mata semakin mengantuk. Jam di dinding baru sahaja berdenting 12 kali.

Monday, January 13, 2014

Prebiu novel Operasi Bulan Madu karya novelis Aini Marisha

Prebiu Novel Operasi Bulan Madu...

Assalamualaikum semua. Jom menonton prebiu saya untuk novel Operasi Bulan Madu pula. Video ni dirakamkan sejurus saya selesai ditemuramah di konti radio ufm uitm di Shah Alam. Memang nerves sebab tak ada praktis2 dulu. Terus je rakam dik. Untuk tonton boleh klik link di bawah ya.

prebiu novel operasi bulan madu

Thursday, January 2, 2014

PROMOSI NOVEL-NOVEL ALAF 21

Assalamualaikum......jom2 dapatkan novel terbital ALAF 21. Ada banyak kisah2 yang menarik. Yang penting, pihak ALAF sangat2 mementingkan penggunaan bahasa yang berhemah demi memartabatkan dan menjaga nilai bahasa kebangsaan kita. 









Promosi novel di radio UFM UiTM

Assalamualaikum...

Nak tempek jugak kat blog ni walaupun event ni sebenarnya dah lepas. Promosi di radio UFM ni berlangsung semalam dari pukul 3-4 petang dalam segmen mari membaca. Pengalaman pertama  dik oooiiii...Ketaq lutut kata orang utara. Hehehee...tapi Alhamdulillah. Lepas dua tiga kali kena tanya, barulah badan ni panas sikit. Kalau tak masa mula2 tu dah rasa duduk dalam bilik sejuk beku.


Agak2 ada ke yang dengar masa akak bersiaran tu kan? Radio ni cuma dapat didengar di area Selangor...KL je. Tapi boleh juga didengar secara online. Tapi tak pe...kepada peminat2 novelis Alaf 21, memang segmen ini akan berterusan setiap hari Khamis jam 3-4 petang dengan novelis2 yang berbeza yang bertujuan untuk mempromosikan novel masing2.

"Kan Aku Dah Kata"

Haaa....kan aku dah kata!!!

Hehehhe...kenapa pulak ni? Jangan risau ya. Ni tajuk cerita baru yang saya sedang tulis. Kalau nak baca Bab 1 -7, boleh pergi ke portal ilham atau klik  sini. Kalau tak keluar terus ke cerita saya, taip nama "ainimarisha" di ruangan carian ya.

Okeylah...kat bawah untuk lebih memudahkan, saya copy je terus bab 6 untuk bacaan semua ya...


BAB 6

“Beb…jom jom cepat. Mommy dan daddy kata flight mendarat dalam pukul 9.00 malam macam tu.” Terkocoh-kocoh Ellyssa menarik beg tangannya yang berada di atas almari. Kasut tumit tinggi yang berada di bawah meja disarungkan rakus kemudian dia terus berjalan pantas ke bahagian luar butik mereka. Sarina juga terkocoh-kocoh mengejar langkah panjang Ellyssa. Nasib baik hari ni dia memakai seluar slack. Jika memakai kain pasti tersangkut-sangkut langkah kakinya yang pendek itu.
“Ira…jaga kedai ya. Kalau kami lambat balik, Ira tutup dan kunci butik ya dan on kan alarm,” pesan Ellyssa sebelum dia dan Sarina berjalan laju menuju ke lif. 
“Tu la…, aku dah cakap suruh cepat. Kau masih la lagi dok mengadap handphone, laptop tu. Kan dah lambat,” bebel Sarina semasa mereka sudah berada di dalam perut lif. Ellyssa menjeling saja Sarina yang membebel sambil membetulkan rambutnya yang sedikit menggerbang. Langsung tidak dipedulikan bebelan tersebut kerana baginya itu adalah Sarina…balas lah macam manapun, makcik itu akan tetap dengan sikapnya yang suka membebel.
“Dah habis dah?” tanya Ellyssa tiba-tiba.
Sarina yang beriringan dengannya tiba-tiba menoleh. Pelik pulak tiba-tiba Ellyssa bertanyakan soalan tersebut. Sementara itu kunci kereta bertukar tangan kerana seperti biasa Sarina yang akan memandu. Portfolionya di butik Ell memang carca marba. Pemandu Ellyssa pun dia….penjaga kaunter bayaran pun dia….pereka fesyen pun dia…pembantu butik pun dia….hehehehe. Nasib baik lah Ellyssa membayar gajinya dengan bayaran yang cukup setimpal. Kalau tidak sudah lama dia cabut untuk mencari pengalaman di syarikat lain.
“Apa yang dah habisnya? Aku tak cakap apa-apapun.”
“Aik! Cepatnya lupa. Memanglah kau ni macam orang tua. Suka membebel jek kemudian lupa apa yang kau dah cakap. Nyanyuk!” Selamba sahaja Ellyssa mengutuk Sarina tanpa bertapis.
“Ooooo…pasal tadi ke?” Panjang saja muncung Sarina apabila dia dapat menangkap maksud Ellyssa sebentar tadi. “Hehehehe….aku tak kisah pun kau nak cakap apa pun kat aku ni Ell. Kau kan boss. Cakap-cakap kau tu tak ada kesan pada diri aku pun. Tapi lain la kalau kau cakap nak potong gaji aku ke. Itu mahu aku terlompat nanti,” usik Sarina dengan wajah lucu.
“Haaa…tau takut.” Sengaja Ellyssa menggerunkan wajahnya tetapi cepat sahaja bibirnya mengukir senyuman lebar apabila Sarina membuat muka sedih. Sarina mengekeh ketawa selepas itu.
Tiba di tempat parikir, terus Sarina menekan butang kunci untuk membuka pintu kereta. Seperti biasa Ellyssa akan masuk di pintu kiri manakala Sarina akan memandu. Memang itu lah tugas utama Sarina sejak mereka mula membuat perancangan untuk membuka butik Ell Collection beberapa bulan yang lepas.
“Ell…bila kau nak cari driver ni? Senang sikit kau nak bergerak. Nak jumpa client ke. Dan aku bolehlah jaga kedai.” Tiba-tiba Ellyssa bertanya apabila kereta mula bergerak keluar dari KLCC.  
“Kenapa? Dah pandai merungut ya. Tak cukup ek gaji yang aku bagi?” soal Ellyssa. Dia menoleh Sarina sekilas. Gadis itu badan saja kecil tetapi ligat apabila bekerja. Sejak dari UiTM lagi mereka telah bersahabat baik.
“Bukanlah macam tu…. Tapi kalau ada driver lelaki, dia tu gagah sikit la nak drive jauh-jauh ke. Aku ni setakat dalam KL ni bolehlah. Jauh-jauh sangat semput jugak. Dah lah aku ni kuat ngantuk. Kena aircond je mata aku mesti layu macam daun pisang atas api tau.” Suara Sarina sambil sesekali mengerling cermin pandang belakang. Lucu pun ada apabila gadis kecil sepertinya memandu kereta pacuan empat roda yang besar. Hampir tenggelam tubuhnya kerana kerusi lebih besar dari pemandunya.
“Bukan senang nak cari driver tau. Lelaki zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Kan dalam suratkhabar sekarang macam-macam cerita ada. Orang yang kita ingat baik, dah kerja sama-sama kita selama beberapa tahun pun tiba-tiba boleh bunuh kita sebab duit tau,” jawab Ellyssa dengan pandangan mata terus terarah ke jalanraya.
“Setakat ni aku rasa okey je macam ni. Kalau kau tak boleh nak drive kan, aku call je cab. Kadang-kadang kalau urgent sangat pakcik Mamat ada. Tapi tak boleh lah aku nak kacau dia selalu sangat sebab daddy kan banyak urusan kat luar jugak,” sambung Ellyssa lagi.
“Untung pakcik Mamat tu kan. Punyalah dia setia kerja dengan daddy kau. Rezeki dia lah bila daddy kau bawak dia dan isteri dia sekali pergi buat umrah.”
Ellyssa mengangguk. Pakcik Mamat dan Makcik Normah memang telah bekerja dengan mereka sejak Ellyssa kecil lagi. Daddy dan mommy sangat sayangkan mereka seperti keluarga sendiri dan sebab itulah sebagai penghargaan tugas mereka selama ini, mereka berdua dibawa sekali ke Mekah untuk menunaikan umrah.
“Okey…, dah sampai. Cari parking cepat,” arah Sarina apabila dia sudah mula masuk ke bahagian parkir KLIA.  Ellyssa memanjangkan batang lehernya ke kiri dan kanan untuk mencari petak yang kosong. Sesekali dia mengerling jam di dashboard kereta. Harap-harap tak lambat…bisik hatinya. Dia tidak mahu kalau daddy dan mommy pula terpaksa menunggu mereka.

“Tu tu…, sana sana. Ada satu kosong,” maklum Ellyssa sambil menepuk lengan Sarina. Sarina terus membelok masuk ke petak yang ditunjukkan. Ellyssa pula telah bersiap sedia dengan beg tangannya. Dia mahu cepat sampai ke balai menunggu. Tiga minggu walaupun terasa cepat berlalu, namun rindunya pada daddy dan mommy tetap menggunung.