E BOOK IRFAN KHAIRI

7.0 Is Here!
iDevAffiliate 7
Price: $99.99 USD



more information

Thursday, January 23, 2014

Bab 8 Kan Aku Dah Kata

Assalamualaikum...jemput baca Bab 8 kisah "Kan Aku Dah Kata". Kalau nak baca juga hasil nukilan penulis Karangkraf yang lain boleh pergi ke laman ilham.karangkraf  atau klik sini. Untuk memudahkan, saya letakkan juga di sini bab 8 untuk bacaan semua ya. 

Bab 8
Tiba di rumah, Datin Aini terus meminta diri untuk berehat. Dia berjanji akan meluangkan masa dengan Ellyssa pada keesokan harinya kerana hari ini dia merasa begitu penat. Apabila masuk ke biliknya, Datin Aini terus memanjat naik ke atas katil besar yang telah ditinggalkannya hampir tiga minggu.  Diciumnya bantal lembut yang sangat dirinduinya dengan deraian air mata yang sukar ditahan.
Datuk Aziz yang masih duduk di ruang tamu bersama Ellyssa hanya memandang sayu langkah isterinya sebentar tadi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dia hanya mampu mengeluh panjang. Kupiah putih yang masih tersarung kemas di kepalanya diambil lalu diletakkan di atas meja kopi.
“Kenapa dengan mommy tu daddy? Kenapa mommy macam tak happy je lepas balik dari umrah ni?” tanya Ellyssa semakin hairan. Memang kelakuan mommy kali ini amat berbeza. Selalunya apabila pulang dari bercuti pasti mommy akan kelihatan sangat gembira dan tidak sabar hendak mengeluarkan segala hadiah dan buah tangan yang dibelinya. Tetapi kali ini mommy langsung tidak menghiraukan barang-barang yang telah dibawa masuk ke rumah. Mommy seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri dan begitu berat hendak bercerita dengan sesiapa mengenainya.
“Berikan mommy masa untuk berehat dan bertenang. InsyaAllah bila mommy dah bersedia, pasti dia akan bercerita segala-galanya kepada Ell,” jawab Datuk Aziz dengan pandangan mata yang redup.
Walaupun Ellyssa masih tidak berpuas hati dengan jawapan bapanya namun dia terpaksa memujuk hati untuk bersabar. Ya, mungkin benar mommy terlampau penat. Dengan jet lag lagi ditambah dengan cuaca panas di bumi Mekah dan bonus pula dengan umur mommy yang semakin meningkat mungkin menyebabkan mommy tidak dapat menahan semua dugaan itu.
“Errr… daddy, rumah Ell dah hampir siap. Hampir 80 peratus dah. Kalau dah siap semuanya, Ell ingat nak pindah. Nak berdikari.” Kali ini topik perbualan telah bertukar. Ellyssa memandang kejap wajah Datuk Aziz. Ada riak terkejut di wajah bapanya.
“Kenapa nak pindah? Rumah ni pun dah cukup besar untuk Ell tinggal. Mommy dan daddy pun bukannya ada anak lain. Tinggal saja di sini. Kalau Ell nak jugak duduk rumah tu, tunggulah sampai Ell dah kahwin nanti. Tak adalah daddy dan mommy risau Ell duduk seorang diri di sana nanti,” jawab Datuk Aziz perlahan lebih kepada memujuk.
“Bukan apa daddy, sayanglah kalau rumah dah siap tapi dibiarkan kosong. Lagi sayang kalau disewakan pada orang lain. Jadi lebih baik Ell duduk saja kat sana. Bukannya jauh pun dari rumah daddy kan. Kalau Ell nak balik sini hari-hari pun tak ada masalah,” jawab Ellyssa dengan wajah kelat apabila mendengar keputusan bapanya tadi.
“Nantilah kita bincang perkara ni. Lagipun ada dalam dua tiga bulan lagi kan sebelum rumah tu boleh diduduki sepenuhnya. Sekarang ni daddy penat sangat. Daddy nak naik solat Isyak kemudian nak tidur,” ujar Datuk Aziz perlahan. Suaranya kedengaran agak kasar disebabkan batuk yang menyerangnya beberapa hari sebelum balik ke Malaysia.
Datuk Aziz mencapai semula kupiah putih atas di meja kopi kemudian melangkah menuju ke tangga. Sebelum tapak kakinya mencium anak tangga yang pertama, Datuk Aziz menoleh ke belakang ke arah Ellyssa yang sedang menukar siaran televisyen.
“Ell…,” panggil Datuk Aziz.
Ellyssa menoleh. “ ya daddy?”
“Sebelum tidur jangan lupa solat Isyak ya dan jangan lupa doakan mommy dan daddy supaya sihat,” pesan Datuk Aziz sebelum dia meneruskan langkahnya ke atas.
Ellyssa pula ternganga apabila mendengar kata-kata bapanya. Pelik! Itulah perkataan yang muncul di fikirannya. Kenapa daddy ni?...bisik hati Ellyssa. Solat Isyak? Berdoa? Seumur hidupnya inilah pesanan paling pelik yang pernah diutarakan oleh daddy. Selama ini tidak pernah pun daddy bercakap mengenai solat kepadanya. Hmmm….sekejap aje tu. Lepas  dua tiga minggu nanti baliklah ke perangai asal….getus hati Ellyssa beserta gelengan kepala dan senyuman pendek. Diambilnya semula alat kawalan jauh yang berada di atas meja. Kali ini cariannya berhenti di rancangan drama Cinta Pandang ke-2 yang diadaptasikan dari novel hasil tulisan Laila Kamilia. Sudah hampir separuh ceritanya.
Hmmm...inilah agaknya cerita novel yang ramai orang kata best tu....bisik hati Ellyssa lagi. Memang dia tidak pernah membaca novel-novel berbahasa Melayu sebelum ini kerana keluarganya lebih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris. Mommy juga menunjukkan minatnya kepada cara Barat dengan menghias rumah mereka bertemakan modern English. Manakala di dalam bilik tidur mereka, mommy mahukan tema English cottage iaitu lebih kepada warna-warna pastel dan bercorak bunga mawar.  
Disebabkan faktor ini tidak banyak nama penulis Melayu di Malaysia yang dikenalinya. Tetapi kebelakangan ini ulasan demi ulasan hebat yang dibacanya di facebook tanpa disedari berjaya juga memancing hatinya untuk membeli dua buah novel berbahasa Melayu semasa ke ke kedai buku bulan lepas. Tiba-tiba Ellyssa teringat semula kepada sebuah buku agama yang dipegangnya...."Cintai dirinya kerana ALLAH".  Ada debaran di hatinya setiap kali bayangan buku itu bermain di fikirannya. 
"Ell tak tidur lagi?" Teguran dari makcik Normah betul-betul mengejutkan Ellyssa.  Diurutnya dada yang terasa sesak seketika.
"Maaf Ell. Makcik tak berniat nak buat Ell terkejut. Ell termenungkan apa tadi sampai makcik datang ni pun tak sedar," tanya Normah lagi.
"Tak pe makcik. Ell pun nak naik tidur dah ni. Nanti makcik tutup lampu semua ya," jawab Ellyssa. Banyak termenung, jalan cerita drama tersebut pun tidak dapat dihayati sepenuhnya. DIa menguap beberapa kali. Mata semakin mengantuk. Jam di dinding baru sahaja berdenting 12 kali.

No comments: