Sedikit sedutan dari manuskrip baru.....
Bab 5
Dia tak diam
telah dua minggu Faizal bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh memegang
jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di sini. Dan dalam dua minggu
itu jugalah dia sering melihat Amira Saira yang juga turut bertugas di balai
yang sama. Walaupun perubahan fizikal Amira telah banyak berubah namun senyuman
manisnya tetap sama seperti dulu. Cuma senyuman itu tidak pernah diberikan
kepada Faizal. Faizal hanya dapat melihatnya apabila Amira Saira berbual dengan
kawan-kawannya atau dengan pegawai yang lain.
Faizal tahu
Amira Saira sangat marah padanya. Mungkin juga sehingga sekarang perasaan marah
itu masih lagi merah membara kerana Amira Saira tidak pernah menunjukkan
tanda-tanda bahawa dia telah memaafkan Faizal. Faizal sedar dia yang bersalah.
Oleh itu dia tidak mahu terburu-buru mendekati Amira Saira walaupun dia boleh
mengeluarkan apa sahaja arahan memandangkan dia adalah ketua jabatan di sini.
Faizal
mengimbas kembali kenangan semasa mereka bersekolah dahulu. Faizal tergelak
sendiri apabila dia teringatkan kenakalannya di sekolah. Memang dia akui dia
agak nakal. Bukan sekali, bahkan telah banyak kali Cikgu Hasnol memanggilnya ke
bilik guru atas kesalahan disiplin yang telah dilakukannya. Pernah sekali dia
meletakkan sirap merah atas kerusi Fatin yang terkenal kerana kecantikannya di
sekolah mereka. Fatin memandangnya sebelah mata kerana dia tidak sekacak pelajar-pelajar
lelaki lain di sekolah mereka malah Fatin membencinya dan sering mengejeknya
dengan perkataan cicak kubing. Tanpa dilihat oleh seseiapa, dia meletakkan
beberapa titik sirap ros di atas kerusi Fatin. Fatin langsung tidak sedar
perkara ini dan apabila dia bangun, semua mata memandang ke bahagian
belakangnya kerana sirap itu kelihatan seperti darah haid yang meresap ke
bajunya. Merah padam muka Fatin kerana malu dan Faizal yang memerhatikan dari
jauh ketawa besar sampai meleleh-leleh
air mata. Mana tidaknya, dia dapat melihat Fatin yang berjalan
tersipu-sipu menuju ke bilik air sambil menutup belakang bajunya dengan kertas
lukisan besar.
“Apa kena kau
ni Fatin? Period tembus ke?” tanya
Faizal, sengaja hendak memalukan Fatin. Fatin hanya memuncung dan terus berlari-lari ke tandas perempuan. Faizal
dan kawan-kawannya ketawa berdekah-dekah sehingga berair mata. Dan sehingga
kini Faizal yakin tiada siapa yang tahu bahawa dia lah yang melakukan perkara
itu kepada Fatin.
“Apa kena
dengan kamu ni Faizal? Saya terima banyak sangat aduan. Dari guru-guru, dari
pelajar, dari orang luar..... Apa masalah kamu ni sebenarnya?” Cikgu Hasnol
bertanya dengan pandangan yang tajam. Wajahnya serius tanpa sebarang senyuman
yang terpamer. Faizal hanya tunduk memandang lapik meja berbunga-bunga kecil
warna biru. Jari-jarinya menarik-narik plastik putih yang dihamparkan di atas
meja itu. Dia bosan sebenarnya. Setiap kali ada aduan, dia akan dipanggil.
Setiap kali ada pelajar perempuan yang menangis, dia akan dipanggil. Bosan! Dia
memang bosan. Di rumah, bapanya selalu terjerit jerit memarahinya. Di sekolah
pula guru disiplin iaitu Cikgu Hasnol pula menggantikan peranan bapanya dalam
soal siasat. Apa yang mereka mahu daripadanya? Salahkah sekiranya dia ingin
bergurau dan bermain-main dengan kawan-kawannya sendiri?
Dia bukannya
membunuh orang malah memegang pun tidak. Hanya kata-kata yang agak kasar tidak
akan mencacatkan anggota tubuh pelajar-pelajar yang diusiknya itu. Manja
sangat. Usik sikit pun tak boleh.....ejek Faizal dalam hatinya. Dia tersenyum
sendiri tanpa sedar yang cikgu Hasnol masih memerhatikan setiap tindak
tanduknya.
“Kenapa awak
senyum-senyum ni Faizal? Kenapa awak tak jawab soalan saya?” Cikgu Hasnol masih
cuba untuk bersabar dengan kerenah anak muda di hadapannya.
“Apa lagi
yang saya nak jawab cikgu? Saya bukannya buat apa-apa. Usik-usik je. Bukannya
luak pun. Dia orang tu yang manja sangat....,” jawab Faizal selamba. Sama
seperti jawapannya dalam kes-kes yang lain.
“Itu kata
awak....awak mendefinasikan perbuatan awak sebagai usik sahaja, tapi tidak bagi
pelajar tersebut. Mereka merasakan usik-mengusik awak tu dah keterlaluan
sehingga memalukan mereka. Awak panggil orang dengan gelaran yang tak
sepatutnya, bubuh katak, usik barang-barang mereka...semua ini memberikan
tekanan kepada pelajar tersebut...,” tegas Cikgu Hasnol. Nada suaranya agak
tinggi kerana dia mahu Faizal sedar bahawa perbuatannya adalah salah.
Katak?
Gelaran yang mengaibkan? Ha! Dia sudah tahu siapa yang membuat aduan kali ini.
Tentu budak gemuk bernama Amira itu. Faizal mahu tergelak apabila kejadian Mira
menjerit kerana gelikan katak bermain semula di matanya. Tetapi apabila
melihatkan wajah Cikgu Hasnol yang masih serius, sedaya upaya Faizal cuba menahan
perasaan geli hatinya. Huh! Padan muka kau! Kau tak kenal siapa Faizal! Getus
hati Faizal bangga kerana telah berjaya mengenakan Amira.
“Faizal?”
panggil Cikgu Hasnol dengan suara yang tinggi apabila dilihatnya Faizal tidak
mengendahkan kata-katanya.
“Errr..ya
cikgu?” Tergagap-gagap Faizal menyahut. Kecut juga perutnya apabila mendengar
nada suara Cikgu Hasnol yang tinggi.
“Kenapa awak
tak jawab?” tanya Cikgu Hasnol dengan pandangan yang tajam.
“Saya nak
jawab apa lagi cikgu? Saya main-main aje,” jawab Faizal selamba. Malas dia
hendak bertekak dengan Cikgu Hasnol tentang apa yang telah berlaku.
“Saya nak
awak minta maaf dengan dia.” Tiba-tiba sahaja Cikgu Hasnol membuat keputusan
tanpa sebarang pertimbangan lain lagi.
“Dengan siapa
cikgu?” tanya Faizal pura-pura tidak tahu.
“Awak jangan
buat-buat tak tahu, Faizal,” ujar Cikgu Hasnol. Geram sungguh dia melihat sikap
Faizal yang langsung tidak bertanggungjawab. Sementara itu tangannya menulis
sesuatu di dalam diari tugasannya di sekolah.
“Betul
cikgu,” serentak itu juga Faizal mengangkat tangan kanannya seolah-olah sedang
bersumpah.
“Jangan nak
bersumpah-sumpah pulak. Lepas ni saya nak awak minta maaf dengan Amira,” ujar
guru kaunseling itu dengan wajah yang serius.
Faizal
tersenyum. Betul tekaannya. Amira Saira yang telah membuat aduan mengenainya.
Minta maaf? Mungkin boleh tapi aku tidak akan mengalah dengan engkau semudah
itu Amira....bisik hati Faizal geram.
“Baik cikgu,
saya janji akan pergi mintak maaf dengan dia nanti,” ujar Faizal dengan wajah
yang disedihkan penuh kepura-puraan.
Tetapi
ternyata guru yang telah mempunyai banyak pengalaman mengendalikan kerenah
pelajar-pelajar sekolah tidak mudah tertipu dengan sekadar reaksi luaran. Cikgu
Hasnol mengulum senyum di hujung bibir.
“Tak semudah
itu Faizal...,” ujarnya dengan senyuman sinis. Faizal mendongak - hairan.
“Pukul 11.00
pagi, saya akan panggil Amira ke bilik kaunseling dan awak akan meminta maaf
kepadanya di hadapan saya,” jelas cikgu Hasnol. Dia memandang wajah Faizal cuba
mencari reaksi anak muda itu.
Ada tanda
kejutan terpamer di wajah anak muda itu. Reaksinya seolah-olah cuba membantah
tetapi gelengan kepala cikgu Hasnol memberikan jawapan tersirat bahawa dia
tidak boleh membuat apa-apa rayuan. Dengan longlai Faizal keluar dari bilik cikgu
Hasnol. Entah berapa banyak sumpah seranah yang dihamburkan dalam hatinya
terhadap Amira Saira. Dia tidak menyangka begitu berani sekali gadis itu
mengadu kepada cikgu Hasnol tentang perbuatannya. Nantilah kau...sekali lagi
Faizal berbisik geram.
“Apa cikgu
Hasnol cakap?” Aswazi yang telah begitu lama menunggu di dalam kelas terus
melontarkan soalan.
“Ah! Diamlah
kau!” marah Faizal. Wajahnya masam mencuka. Pelajar-pelajar lain yang turut
berada di kelas hanya menjeling dan berbisik-bisik dari jauh. Faizal
menghempaskan punggungnya ke kerusi dengan kasar. Meja kayu yang hampir penuh
dengan contengan dan lakaran akibat vandalisme diketuk beberapa kali. Marahnya
terhadap Amira Saira semakin menggunung. Laharnya seolah-olah menunggu masa
untuk meletup.
“Eh, apahal
ni kawan....” Aswazi masih tidak puas hati. Dia menarik kerusi di sebelah
tempat duduk Faizal kemudian menariknya rapat ke meja Faizal.
“Siapa yang
komplen pulak kali ni?” tanya Aswazi lagi masih ingin tahu.
Faizal malas
hendak menjawab soalan-soalan Aswazi. Matanya memandang tepat ke papan hitam
yang masih bertulis dengan beberapa angka dan pengiraan. Dia seolah-olah
terbayangkan wajah Amira Saira yang sedang ketawa dan mengejek-ngejeknya.
“Tummm!!”
Aswazi
terlompat apabila tiba-tiba sahaja Faizal menumbuk meja dan terus melangkah
keluar dari kelas. Pelajar-pelajar lain yang berada di dalam kelas itu juga
tersentak dan semua mata memandang ke arah Aswazi. Aswazi menjungkitkan bahunya
lalu bergegas keluar membuntuti Faizal.
“Kau ni
kenapa Faizal? Nak ke mana ni?” tanya Aswazi lagi sambil beriring berjalan
dengan Faizal.
“Aku nak cari
minah gemuk tu. Berani dia mengadu pasal aku kat cikgu Hasnol,” jawab Faizal
dengan geram. Jari jarinya digenggam erat tanda panasnya hatinya di waktu ini.
“Jangan buat
yang bukan-bukan Faizal. Nanti kalau kau kena buang sekolah lagi teruk.” Aswazi
cuba memujuk kerana dia sayangkan kawan baiknya itu.
“Ah!! Aku tak
peduli. Minah tu memang nak kena ajar sebab kurang ajar sangat,” bentak Faizal
lagi. Wajahnya semakin panas membakar. Aswazi hanya mampu menggeleng kepala
namun dia terus mengekori langkah Faizal.
Langkah
Faizal terhenti apabila dia dapati Cikgu Sharon berada di dalam kelas 5 Mawar.
Niatnya untuk bersemuka dan membuat perhitungan dengan Amira Saira sebelum
bertemu dengan Cikgu Hasnol terbantut. Faizal bersandar di koridor bersetentang
dengan pintu bahagian belakang kelas Amira.
Dia menunggu sekiranya Amira akan menoleh ke belakang sebentar. Jadilah
sekiranya dia dapat menunjukkan penumbuknya kepada perempuan gemuk itu sebagai
amaran. Lima minit berlalu tetapi Amira langsung tidak menoleh malah cikgu
Sharon pula yang merenungnya tajam beberapa kali. Akhirnya dengan berat hati
Faizal melangkah semula ke kelasnya.
“Cikgu Hasnol
suruh aku mintak maaf dengan minah gemuk tu pukul 11.00 nanti kat bilik
kaunseling,” beritahu Faizal perlahan tetapi penuh kemarahan.
“Berani ya
perempuan tu,” komen Aswazi, terkejut juga kerana buat pertama kali ada pelajar
yang berani mengadu tentang kelakuan Faizal.
“Itulah,
sakit betul hati aku. Selama ni bukan tak ada aku usik budak-budak lain, tapi
tak siapa berani report kat cikgu.
Ini...baru datang sini dah nak tunjuk besar kepala. Dia ingat dia tu siapa? Dia
ingat bapak dia Inspektor polis, aku takut??,” bebel Faizal tidak puas hati.
Genggaman tangannya semakin kuat mencengkam.
“Habis tu kau
kena pergilah ni?” tanya Aswazi lagi sambil menggaru kepala yang gatal.
“Memanglah....kalau
aku tak pergi nahas aku kena marah dengan cikgu Hasnol. Lagi teruk lalau dia report pulak kat bapak aku tu...,” jawab
Faizal gelisah. Dia merenung jauh kemudian meraup rambutnya yang terjuntai di
dahi ke belakang.
“Apa kau nak
risau. Bapak kau bukan selalu ada kat rumah pun. Kalau yang dapat tahu pun
mungkin emak kau je...,” pujuk Aswazi, cuba meredakan keresahan Faizal.
“Aku tak nak
tanggung risiko lah Zi,” luah Faizal dengan nada suara yang semakin mengendur.
Aswazi
mengangguk. Kasihan pun ada dengan Faizal yang telah menjadi kawan baiknya
sejak mereka di sekolah rendah lagi. Boleh dikatakan dia tahu semua perkara
mengenai Faizal dan keluarganya. Dia simpati pada Faizal dan dia faham kenapa
Faizal selalu mengusik pelajar-pelajar lain dan cuba menunjukkan kekuatan dan
kehebatannya. Itu semua disebabkan oleh sikap bapa Faizal sendiri yang panas
baran dan sering memukulnya sejak dari kecil sehinggalah sekarang. Perasaan
marah kepada ayah sendiri diluahkan dengan cara membuat apa sahaja yang
disukainya demi untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Mereka merokok,
mengusik pelajar-pelajar perempuan, melepak, menconteng dinding awam dan
adakalanya ponteng sekolah. Tetapi bagi mereka semua yang mereka lakukan masih
ada batasan. Mereka tidak sama sekali melakukan perbuatan jenayah yang lain
seperti merompak, meragut, dan menghisap dadah.
No comments:
Post a Comment