E BOOK IRFAN KHAIRI

7.0 Is Here!
iDevAffiliate 7
Price: $99.99 USD



more information

Monday, March 3, 2014

ILHAM KARANGKRAF -BAB BARU SANDARAN HATI

 Assalamualaikum,

Saya telah memuat turun bab baru novel SANDARAN HATI di portal ilham. Boleh klik  BAB 10  untuk membaca karya saya yang telah diterbitkan pada tahun 2008.

Selain itu, saya turut muat turun beberapa bab dari novel Usah Menangis Sayang (klik SINI)   dan Operasi Bulan Madu (klik SINI)   juga. Jemput baca- percuma sahaja.

Tapi kat bawah ni pun saya letakkan juga bab 10 novel SANDARAN HATI tersebut untuk terus dibaca. Tapi kalau nak baca bab sebelum ini yang telah saya muat turun boleh pergi ke portal ilham ya. Tq


BAB 10-SANDARAN HATI

Gadis manis penyambut tetamu mengetuk pintu kayu beberapa kali. Kedengaran bunyi “Klik” di pintu. Gadis manis itu terus memulas tombol pintu lalu daun pintu terbuka luas. Amalia dengan perasaan berdebar terus melangkah mengekori gadis di hadapannya.
“Encik Farhan, ini Cik Amalia yang datang untuk temuduga jawatan Penasihat Undang-Undang tu,” gadis itu memaklumkan kepada ketuanya yang sedang menaip sesuatu di komputer yang berada di sebelah kanan meja utamanya.
Lelaki yang berpakaian kemeja berwarna biru laut serta bertali leher warna senada bercorak abstrak memusingkan kerusinya mengadap ke arah Amalia. Alamak!!!.......Amalia terkedu. Lelaki Winter Sonata dalam lif tadi…hati Amalia berdetik cemas. Tetapi kali ini keterampilannya berubah. Sebentar tadi dia kelihatan seperti seorang Mat Motor yang ingin pergi berlumba, tetapi di hadapannya kini duduk seorang lelaki yang berjawatan tinggi, berpakaian kemas dan segak. Rambutnya disisir rapi ke belakang serta tiada lagi sarung tangan getah yang menutupi tangannya. Senyuman meleret di wajahnya. Ada lesung pipit….Amalia berbisik sendiri.
“Ya, Cik Amalia, silakan duduk,” Encik Farhan berkata sambil senyuman masih melatari bibirnya.
“Ya,” Amalia mengikut. Kerusi ditarik perlahan lalu dia melabuhkan punggungnya di kerusi  berhadapan dengan lelaki bermata sepet itu.
“Mula-mula saya nak tanya, kenapa asyik pandang saya masa dalam lif tadi? Cik Amalia tukang tilik ke?”
Ha?!! Amalia betul-betul terkejut dengan pertanyaan lelaki bermata sepet di hadapannya itu. Rona-rona merah menjalar naik ke mukanya. Dirasakan darah merah dan panas membuak-buak menjalar ke urat wajahnya. Amalia benar-benar malu. Rupanya lelaki ini perasan yang dia memerhatikannya semasa di dalam lif tadi.
“Errrr……” Amalia terkedu. Dia tiada jawapan untuk soalan itu kerana itu bukanlah antara soalan-soalan yang dia membayangkan akan ditanya semasa temuduga ini.
“Maafkan saya, saya tak bermaksud begitu,” Amalia akhirnya bersuara perlahan sambil tunduk ke lantai.
“Alamak, Cik Amalia. Awak tak boleh macam ni. Kalau awak nak jadi seorang Penasihat Undang-Undang, awak mesti tegas dan yakin di dalam setiap jawapan awak. Awak mesti ada confident, baru boleh berjaya dan bersaing dengan orang lain. Syarikat ni syarikat yang besar, kita jalankan perniagaan import dan eksport di peringkat antarabangsa. Kami perlukan penasihat undang-undang yang boleh memberi nasihat di dalam bidang perundangan lebih-lebih lagi dalam merangka perjanjian apabila kami berurusan dengan pelanggan-pelanggan. Pelanggan syarikat ini juga terdiri daripada syarikat-syarikat besar dan kadangkala nilai urusan melibatkan jutaan ringgit,”
Encik Farhan menerangkan dengan panjang lebar kepada Amalia tentang syarikat itu. Matanya tajam memandang ke arah Amalia. Amalia hanya mengangguk. Dia cuba mencari kata-kata terbaik untuk mempertahankan dirinya.
“Encik Farhan, saya memohon untuk pekerjaan ini kerana saya berminat dengan jawatan ini dan saya pasti saya mampu menjalankan kerja ini dengan baik. Saya pohon Eencik Farhan memberi saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya. Encik Farhan boleh memberi tempoh untuk menilai kemampuan diri saya dalam menjalankan tugas, sekiranya selepas tempoh itu Encik Farhan berpuas hati dengan kemampuan saya, saya harap saya diserap terus untuk bekerja di dalam syarikat ini. Sekiranya tidak, saya sanggup menerima apa sahaja keputusan syarikat terhadap saya,” Amalia berkata penuh yakin dengan ayat yang disusun teratur.
Lelaki itu terdiam sebentar. Matanya yang telah sepet semakin mengecil apabila dia mengerutkan dahinya.
“Hmmm……mengikut sijil-sijil yang awak kemukakan, nampaknya awak aktif juga di sekolah dan universiti. Banyak terlibat dengan aktiviti kebajikan. Nampaknya awak juga pelajar terbaik bagi fakulti undang-undang. Saya nak tanya awak, adakah apa yang tercatit dalam sijil ini boleh terus menilai diri seseorang dan kemampuannya dalam bekerja? Sesetengah orang berkata kelulusan di universiti walau secemerlang manapun tidak akan dapat menentukan bahawa dia mampu bekerja dengan baik. Malah ada yang mengatakan pengalaman itu lebih bernilai daripada sekeping sijil,”
“Encik Farhan, bagaimana seseorang itu mahu mencari pengalaman sekiranya dia langsung tidak diberi peluang untuk mencuba? Saya berpendapat setiap orang yang berpengalaman itu juga bermula dengan kosong sewaktu dia memulakan pekerjaannya. Sampai bila kami yang fresh ini berpeluang menimba pengalaman sekiranya setiap syarikat memberi alasan bahawa mereka inginkan orang yang berpengalaman? Rasanya Encik Farhan juga sewaktu menerajui syarikat ini, memang tidak mempunyai sebarang pengalaman, tetapi saya yakin berkat usaha gigih dan kerja keras Encik Farhan serta ingin belajar tentang pekerjaan ini, maka Encik Farhan telah berjaya mengendalikan syarikat ini dengan baik sekali,”
Ada senyuman kelihatan di bibir lelaki itu. Amalia pula semakin yakin untuk berbicara dan melontarkan pendapatnya.  
“Bila boleh mula bekerja?” tiba-tiba sahaja lelaki itu bersuara selepas mendiamkan diri sambil matanya meliar melihat sijil-sijil yang dikemukakan oleh Amalia.
“Ha?” Amalia bagai tidak percaya. Adakah lelaki ini ingin mempermainkannya?
“Kenapa? Saya tanya bila boleh mula bekerja?” lelaki itu bertanya lagi tetapi kali ini pandangannya menghala kepada Amalia. 
“Errr…bila-bila masa yang Encik mahukan,” Amalia menjawab tergagap-gagap. Dia begitu terkejut sebenarnya. Dia ingatkan dia akan gagal di dalam temuduga itu kerana soalan-soalan yang dikemukakan oleh Encik Farhan sebentar tadi seolah-olah tidak mahu menerimanya bekerja di situ.
“Esok boleh?” lelaki itu bertanya lagi.
Amalia terdiam. Esok? Fikirnya. Cepatnya…Amalia berkata-kata sendiri dalam hati.
“Kenapa? Ada masalah ke? Kata tadi ingin memberikan yang terbaik kepada syarikat ini. Takkan perkara kecil macam ni pun menjadi masalah kepada awak?” kata-kata Encik Farhan itu bagai satu cabaran kepada Amalia.
“Baiklah, saya setuju untuk mula bekerja esok,” Amalia berkata. Jika ini adalah cabaran, maka dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Baiklah, mula mendaftar pada 1 haribulan nanti,” tiba-tiba lain pula arahan yang dikeluarkan oleh lelaki itu.
Amalia mengerutkan dahinya. Dia keliru. Mana satu arahan yang perlu dipatuhinya. Datang esok atau 1 haribulan?.
“Errr…maafkan saya Encik Farhan. Saya kena datang esok atau 1 haribulan?”
“Kalau awak datang esok, sempat ke nak cari rumah sewa, nak cari pakaian untuk datang kerja, kasut, beg tangan, transport…. Awak duduk di Ipoh kan?”
Amalia mengangguk. Lelaki di hadapannya ini seperti cuba mengujinya. Dia rasa dipermain-mainkan pula. Nasib baiklah lelaki di hadapannya ini Ketua Jabatannya, kalau tidak mahu rasanya dia meninggalkannya di situ begitu sahaja.
“Ok, saya rasa itu sahaja. Awak boleh balik dan datang semula pada 1 haribulan depan. Tahniah,”

“Terima kasih Encik Farhan,” Amalia bangun lalu berjalan menuju ke pintu bilik. Dia berasa sangat lega dan turut bersyukur kerana berjaya mendapat pekerjaan ini.

No comments: